Untuk makluman, VHI adalah skim untuk kumpulan lebih spesifik dan fleksibel dengan visinya menyamai Perlindungan Kesihatan Universal (UHC) yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara amnya, kedua-dua skim adalah baik untuk mengurangkan kos penyediaan kemudahan kesihatan sekiranya fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan boleh berintegrasi melalui gabungan. Skim juga berperanan mengatasi masalah beban tugas yang bertambah di sektor perkhidmatan kesihatan awam.

Jika dilaksanakan kelak, skim berkenaan sewajarnya mengutamakan hak kesaksamaan dan keadilan yang mana setiap individu layak mendapatkan rawatan kesihatan dan berpeluang mendapat yang terbaik tanpa terbeban dengan kos pembayaran caj tinggi.

VHI misalnya, akan menyediakan dana untuk pakej kesihatan kepada fasiliti kesihatan swasta dalam kadar caj dipersetujui di bawah kadar pasaran caj swasta sekarang, manakala premium untuk skim itu diperoleh daripada caruman kakitangan kerajaan dan masyarakat secara sukarela, selain faedah pakej juga meliputi ahli keluarga pencarum.

Difahamkan, VHI akan diwajibkan dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi jika cadangan pelaksanaannya disokong 80 peratus kakitangan awam. Jika direalisasikan, semua pekerja warga asing dan pelajar juga perlu membeli pakej skim VHI itu.

Sementara itu, kajian di klinik-klinik pakar mendapati 61.4 peratus responden bersetuju dengan skim NHIS jika dikenakan bayaran minimum RM240 setahun, manakala 80.5 peratus penjawat awam di Putrajaya pula bersetuju dengan caruman sebanyak RM50 sebulan. Begitupun, kajian responden itu belum boleh dianggap mewakili respons majoriti.

Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) berpandangan, VHI dan NHIS hanya boleh dilaksanakan apabila semua pihak bersedia memahami struktur dan konsep serta fungsi skim untuk mempertingkatkan kemudahan dan kualiti sistem perkhidmatan sedia ada tanpa membebankan mana-mana pihak.

Setakat ini Perdim mendapati masyarakat selesa dengan sistem sedia ada kerana pilihan rawatan yang lebih terbuka di swasta mahu pun kerajaan. Malah, sistem penjagaan kesihatan di Malaysia antara yang kukuh dan terbaik sehingga kini.

 

DATUK DR. AHMAD SHUKRI ISMAIL

Presiden Perdim