Rasanya hanya Utusan Malaysia yang mengangkat kesusasteraan dan sasterawan semegah itu, sesuai dengan sejarah akhbar itu sendiri yang diwujudkan oleh golongan sasterawan dan penulis, maka sambutan besar-besaran sebegitu amatlah wajar. Kehadiran tokoh politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cenderung kepada sastera selain Sasterawan Negara, penulis, pelukis dan selebriti sememangnya menambah prestij selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang HSKU.

HSKU ke-33 bukan sahaja menampilkan pemenang dari penulis mapan seperti Sri Rahayu Yusof, Zainal Rashid Ahmad dan Husna Nazeri malah telah menaikkan nama-nama baharu dan penulis muda seperti MK Riza dan Saza S, Wardah Puteh dan Abdullah Hussaini serta Clayton Robert dan Soraya Salim.

Sekalung tahniah diucapkan kepada barisan pemenang dan Kumpulan Utusan selaku penganjur. Diharapkan selepas ini buku-buku karya pemenang berada di toko-toko buku, perpustakaan dan sekolah. Promosi harus digiatkan baik secara fizikal mahupun maya.

Diharapkan juga dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tidak lama lagi, malah promosi gencar di laman web dan media sosial. Petikan-petikan menarik dalam cerpen pemenang atau cuplikan sajak juga boleh dihias dalam bentuk gambar dan dimuat naik dalam laman sosial.

Begitu juga ulasan pembaca, molek kiranya dikongsi untuk tatapan bersama di laman sosial. Semoga dengan giatnya promosi ini akan menambahkan golongan pembaca dan peminat kesusasteraan tanah air.

RIKISMA FAZLOER

Alor Setar, Kedah.