PELBAGAI langkah telah diambil kerajaan bagi mengekang masalah ketagihan merokok dalam kalangan masyarakat, dan yang terbaharu adalah pengumuman cadangan untuk meningkatkan had usia membeli rokok kepada 21 tahun berbanding 18 tahun serta menaikkan harga rokok kepada RM21.50 sekotak berbanding RM17.

Bukan itu sahaja, aspek pemantapan undang-undang juga telah dilakukan bagi memastikan isu tersebut tidak dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Ini termasuk melalui beberapa pindaan undang-undang berkaitan seperti memperluaskan zon larangan merokok di seluruh negara seperti mana termaktub di bawah Peraturan–Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Walaupun banyak usaha yang telah dan akan dilakukan kerajaan, ironinya jumlah bilangan perokok semakin meningkat dari setahun ke setahun. Lebih menakutkan peningkatan ketara dalam kalangan generasi muda belasan tahun yang masih bersekolah! Justeru, di manakah silapnya?

Pada hemat saya, penting bagi kerajaan mempergiatkan segala usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda mengenai risiko bahaya rokok lebih-lebih lagi dengan adanya sindiket penyeludupan rokok ke negara ini yang akan memberi impak lebih teruk kepada kesihatan.

Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan kempen kesedaran bahaya merokok secara berterusan dengan menggunakan segala bentuk media yang ada di dalam negara ini - baik media konvensional mahupun media komunikasi sosial - bagi menghebahkan segala bentuk maklumat mengenai risiko tabiat merokok.

Melalui kempen berkenaan, penekanan juga harus diberikan mengenai beberapa impak negatif tabiat merokok yang mendedahkan perokok dan orang di sekelilingnya kepada pencemaran asap rokok mengandungi ribuan unsur racun dan karsinogen yang boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit dalam jangka masa pendek dan panjang seperti asma, batuk, masalah pernafasan sehinggalah penyakit barah.

Paling penting orang ramai harus sentiasa dididik bahawa merokok bukan perkara normal yang boleh diterima masyarakat pada masa kini, sebaliknya perbuatan itu harus dilihat sebagai satu tabiat buruk yang perlu dijauhi, dielak dan ditinggalkan buat selama-lamanya.

Kempen berterusan mengekang tabiat itu pada akhirnya dapat membentuk sebuah masyarakat serta persekitaran lebih sihat dan yang paling penting bebas rokok.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia