TELAGA minyak Bertam Blok PM307 yang menjadi rebutan antara Terengganu dan Pahang. GAMBAR IHSAN PEMBACA

Telaga minyak Bertam menjadi pertikaian antara Pahang dan Terengganu selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan telaga minyak itu milik Pahang pada 2012.

Medan minyak yang ditemui oleh syarikat perunding, Lundin Oil itu terletak 120 kilometer dari Pantai Geliga dan mengeluarkan hasil pertama pada 4 Mac 2015.

Terengganu mendakwa telaga minyak Bertam ini miliknya berdasarkan sempadan konsesi Blok PM307 di mana medan minyak Bertam terletak, sedangkan sempadan konsesi Blok PM307 bukan sempadan laut yang sah antara kedua-dua negeri berjiran itu.

Dakwaan ini merujuk kenyataan syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil bahawa ia berada di kawasan Geliga, Kemaman, Terengganu.

Kenyataan ini seperti dirujuk oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak boleh diguna pakai kerana syarikat berkenaan merujuk kepada sempadan konsesi Blok PM307 yang kebetulan terletak berhampiran sempadan kedua-dua negeri.

Sebenarnya isu perebutan telaga minyak Bertam tercetus kerana kerajaan Persekutuan tidak pernah menggazetkan sempadan laut antara negeri-negeri yang menjadi pengeluar petroleum seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sehingga kini hanya sempadan laut di antara Kelantan dan Terengganu yang telah berjaya digazetkan iaitu di sekitar Pulau Perhentian. Isu yang sama juga pernah berlaku antara Kelantan dan Terengganu apabila berlakunya pertindihan telaga minyak dan gas di kedua-dua negeri tersebut.

Ini kerana sempadan blok-blok konsesi minyak yang dikendalikan Petronas saling bertindih dengan sempadan laut kedua-dua negeri yang sebelum ini telah pun digazetkan.

Jika dilihat dari kedudukan geografi Semenanjung Malaysia yang mengunjur dari arah Barat Daya ke arah Tenggara, jelas telaga minyak Bertam yang terletak 120 kilometer dari Pantai Geliga menjadi milik Pahang.

Ini kerana sempadan laut kedua-dua negeri akan mengunjur ke arah timur laut (utara) dari titik terakhir sempadan kedua-dua negeri di Pantai Geliga kerana mengikut kedudukan geografi Semenanjung Malaysia, sebagai mana sempadan laut antara Malaysia dan Thailand yang mengunjur hingga kira-kira 500 kilometer ke utara dari luar pantai Pattani, Thailand.

Sebelum ini juga pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengumumkan akan melakukan pengukuran sempadan laut bagi menentukan kedudukan sebenar medan minyak Bertam di Blok Konsesi PM307, yang mana keputusan tersebut sepatutnya telah diumumkan pada akhir Januari lalu.

Bagaimanapun, keputusan kedudukan medan minyak Bertam Blok PM307 yang menjadi pertikaian antara Pahang dan Terengganu masih tidak diumumkan sehingga kini.

Oleh yang demikian, diharap kerajaan Pakatan Harapan dapat memberi penjelasan kepada umum dalam soal Bertam ini sama ada masih dalam proses rundingan atau sebaliknya dan semua pihak masih menunggu keputusan Jupem untuk menentukan sempadan atau kawasan Bertam ini sama ada milik Pahang atau Terengganu.

Kekeliruan itu boleh menyebabkan wang royalti atau wang ihsan disalah bayar terhadap negeri yang sepatutnya menerima wang tersebut seperti yang dijanjikan oleh kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

M. SABARUDIN MOHD. NOR

Kuantan, Pahang