PAPARAN Utusan Online 31 Disember 2016.
PAPARAN Utusan Online 31 Disember 2016.

BARU-BARU ini heboh diperkatakan tentang kepala penis terpotong semasa proses berkhatan di klinik swasta. Isu timbul setelah dua kes berlaku di Kuala Lumpur melibatkan khatan menggunakan kaedah konvensional iaitu gunting dan laser atau cautery.

Selaku Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), saya terpanggil untuk memberi pandangan berhubung kejadian tersebut. Umum tahu, setiap tahun puluhan ribu kanak-kanak dikhatankan di hospital dan klinik awam mahupun swasta, dan purata satu hingga 10 peratus kanak-kanak akan mengalami komplikasi.

Perdim sendiri pada November tahun lepas pernah menganjurkan program Sunathon Perdana melibatkan 1,250 kanak-kanak yang disunatkan secara serentak menggunakan teknik laser dan klamp. Biarpun berdepan banyak ragam namun semuanya terkawal dan tiada sebarang komplikasi berlaku.

Biarpun kesal dengan perkara yang berlaku namun bagi saya, apa yang terjadi adalah lebih kepada human error iaitu kelemahan individu, dan bukan kerana masalah teknik yang digunakan. Jadi di sini saya ingin tekankan bahawa konsep keselamatan perlu diutamakan pada masa depan agar kejadian tidak berulang.

Berdasarkan kejayaan program Sunathon Perdana, sudah tiba masanya Perdim diberi peranan sebagai badan pemantau khususnya dalam meningkatkan latihan dan memberi maklumat terkini serta menjadi badan akreditasi dengan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

Ini penting agar apa sahaja teknik atau peralatan baharu perlu mendapat pengesahan dan kemudian dibincangkan bersama kementerian terbabit bagi mendapatkan satu ketetapan standard untuk semua tanpa mengira dari sektor kerajaan mahupun swasta.

Antara perancangan, Perdim juga akan membuat kursus dan latihan berkhatan serta mengeluarkan sijil kompetensi. Ini bermakna sesiapa sahaja daripada pegawai perubatan mahupun pembantu perubatan yang mahu menjadi mudim perlu ada sijil ini bagi memastikan mereka sedar akan segala langkah keselamatan serta berusaha untuk mengelak dari menyebabkan risiko khatan terjadi.

Diharapkan kerjasama Perdim dam Kementerian Kesihatan dapat menjadikan proses berkhatan mencapai zero defect pada masa depan. Malah Perdim juga boleh bekerjasama dengan syarikat pengeluar produk sunat seperti klamp agar dapat memberi kesan yang lebih baik.

Harus diingat, setiap kaedah ada kelebihan dan kekurangan. Kaedah klamp misalnya ada kelemahan seperti pendarahan jika klamp yang digunakan lebih besar daripada saiz penis dan kesakitan berlaku jika saiz klamp terlalu kecil berbanding penis. Atas sebab itulah setiap langkah harus ada standard of procedure masing-masing.

Dalam pada itu, Perdim juga berharap keluarga kanak-kanak yang terpotong kepala penis tidak terlalu emosional dan bersikap rasional jika mahu mengambil sebarang tindakan.

Dari segi kebajikan, Perdim sendiri akan melihat perkembangan kanak-kanak terbabit bagi memastikan fungsi kelelakian mereka tidak terjejas.

Kepada doktor yang terlibat, Perdim bersimpati dengan masa depan profesion mereka. Apa sahaja tindakan yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan, Perdim akan cuba menjadi orang tengah walaupun mereka bukan ahli Perdim. Pembelaan adalah untuk semua doktor sebagai rakan setugas.

DATUK DR. AHMAD SHUKRI ISMAIL

Presiden Perdim