Kini semua pelajar tersebut dalam proses memohon tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta. Mereka begitu teruja dan berdebar menunggu sama ada diterima atau sebaliknya menjelang pengumuman pengambilan pada September nanti.

Persoalannya, mengapa begitu lama masa diambil pengurusan IPT terutama sekali universiti awam dan Kolej Matrikulasi untuk memproses permohonan sedangkan kemudahan sistem berkomputer hanya memerlukan masa yang pendek bagi mengendalikan pengambilan pelajar baharu.

Sepatutnya proses pengesahan pengambilan pelajar baharu semakin cepat setiap tahun dan mungkin memerlukan masa dua atau tiga bulan sahaja.

Mengapa tiada kemajuan dalam sistem tapisan pengambilan baharu sehinggakan pelajar perlu tunggu hingga lima atau enam bulan? Tempoh ini dianggap terlalu lama dan membazirkan masa pelajar itu sendiri.

Sebaiknya, setelah keputusan SPM yang diumumkan pada Mac lalu diproses, segala dokumen permohonan pelajar untuk masuk ke mana-mana IPT dapat dibuat seawal mungkin dan diselesaikan menjelang akhir Jun.

Apabila terlalu lama menunggu, pelajar yang mengharapkan untuk melanjutkan pengajian mereka akan mula merasa bosan dan disebabkan kebosanan inilah bermacam-macam gejala yang tidak sihat akan berlaku khususnya jika mereka dibiarkan bebas tanpa diperhatikan atau dipantau keluarga.

Jika proses permohonan dipercepatkan, pelajar kurang membazirkan masa dan akan lebih memanfaatkan masa terluang mereka di samping memberi tempoh realistik kepada pelajar yang gagal mendapat tempat di IPT awam memohon ke IPT swasta.

Ibu bapa pelajar tersebut juga akan berasa lega kerana dapat merancang pelan pendidikan dan masa depan anak mereka lebih cepat supaya tidak membazir masa di rumah atau berterusan dengan kerja sambilan yang tiada prospek kerjaya.

Saya juga ingin syorkan supaya cuti semester IPT dikaji semula supaya dipendekkan kerana cuti yang terlalu lama hanya merugikan masa pengajian pelajar itu sendiri dan melengahkan permulaan hidup mereka sebagai orang dewasa.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban