Begitupun perkara itu dinafikan pihak Proton dan menjelaskan transaksi tersebut dilakukan tanpa kebenaran mereka. Perkara itu kini dalam siasatan pihak Proton manakala pusat jualan terbabit telah pun digantung operasi buat sementara waktu.

Penulis yakin masih ramai rakyat Malaysia keliru dan kurang jelas dengan maksud serta penggunaan bitcoin. Secara ringkas, bitcoin adalah mata wang digital yang boleh digunakan oleh mana-mana individu untuk pembayaran melalui internet tanpa dibatasi sebarang jenis mata wang dunia.

Ketika ini, penggunaan bitcoin sudah pun digunakan secara meluas di beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat dan Korea Selatan manakala Jepun mengehadkan penggunaannya di dalam negara itu sahaja.

Sementara itu, tiada peraturan jelas berkaitan penggunaan bitcoin di Malaysia. Namun satu garis panduan mengenainya dijangka dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam waktu terdekat. BNM pada 3 Januari 2014 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bitcoin diiktiraf sebagai tidak sah diperlakukan di negara ini.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan sebarang risiko kerana BNM tidak mengawal selia urus niaga bitcoin. Terdapat beberapa risiko termasuk penyalahgunaan untuk aktiviti yang salah di sisi undang-undang sekiranya penggunaan bitcoin tidak dikawal selia oleh pihak-pihak bertauliah.

Penggunaan bitcoin dari sudut Islam juga tidak jelas kerana Majlis Fatwa Kebangsaan belum mengeluarkan sebarang fatwa berkaitan. Namun ulama di beberapa negara Islam seperti Mufti Besar Mesir, Shawki Allam, menerusi fatwa rasmi mengharamkan penggunaan bitcoin selepas mendakwa perdagangan dalam mata wang kripto adalah sama seperti berjudi.

Terbaharu, ulama Arab Saudi, Assim al-Hakeem juga melihat mata wang maya sebagai haram kerana statusnya masih samar-samar. Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan digesa segera menyelidik isu berkenaan serta mengeluarkan fatwa jelas dan muktamad mengenai penggunaan bitcoin bagi memudahkan umat Islam di negara ini memahaminya dengan lebih baik.

DR. MUZAFFAR 
SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia