Selepas pembentangan belanjawan selesai baru-baru ini, boleh dikatakan tiada perbezaan ketara berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. Ternyata banyak janji manifesto tetap juga tidak terlaksana sekalipun tersenarai dalam sepuluh janji seratus hari memerintah.

Belanjawan 2019 juga ternyata tidak dapat memenuhi banyak tuntutan rakyat, rata-ratanya sama juga macam yang dituntut rakyat yang telah dijanjikan oleh kerajaan BN dahulu.

Apa yang pasti, janji pemimpin PH semasa kempen pilihan raya tidak dapat ditunaikan sepenuhnya. Contohnya penghapusan bayaran balik pinjaman 
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN.

Sebaliknya, pemberian wang tunai kepada rakyat yang dahulunya dikatakan rasuah diberi juga kali ini tetapi atas skim lain.

Pada masa yang sama, saya rasa tentu ramai rakyat kalangan bumiputera dan Islam bersyukur kerana kerajaan PH masih meneruskan peruntukan yang sama malah ada yang meningkat amaunnya untuk kelompok ini.

Satu tindakan yang tepat demi menjaga keharmonian dan keseimbangan dalam negara ini. Setelah setengah tahun memerintah, tidaklah banyak sangat perubahan dalam sistem pentadbiran jika dibanding antara kerajaan BN dan PH.

Hanya satu lagi isu yang amat penting rakyat masih nanti-nantikan di bawah pimpinan PH, seperti dilaung-laungkan sebelum ini sehingga mampu menjatuhkan kerajaan BN iaitu menghapuskan rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan ahli politik.

Andainya isu ini tak ada perubahan ketara maka tiadalah apa-apa keistimewaan kerajaan pimpinan PH. Inilah sebenarnya yang amat diimpikan oleh ramai rakyat negara ini supaya segala peruntukan dan perlaksanaan belanjawan yang dibentang mampu terlaksana dengan baik

Kesimpulannya, andai kerajaan pimpinan PH sekarang ni mampu menghapuskan segala bentuk rasuah dalam negara, banyak permasalahan dalam segala aspek akan dapat diatasi.

Kegagalan menyediakan belanjawan yang berbeza dengan kerajaan sebelum ini dan menunaikan sebahagian manifesto pilihan raya mungkin akan ‘dimaafkan’ andainya kerajaan PH betul-betul mampu memerangi rasuah sehabis-habisnya.

ZULKIFLI Z. ABIDIN