Penduduk kampung mendakwa penyeludup minyak petrol dan barang terkawal lain termasuk gula dan minyak masak masih galak beroperasi pada waktu senja mahupun lewat malam walaupun ada rondaan.

Persoalannya, rondaan rambang pihak berkuasa berjaya dihidu penyeludup dan amat jarang tangkapan berjaya dibuat sedangkan operasi mereka boleh dikatakan bergerak setiap hari.

Saya berharap pihak pentadbiran tertinggi Jabatan Kastam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan tiada penglibatan orang dalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga diharap memberi lebih perhatian kepada jalan dan laluan ke arah sempadan bagi mengekang penyeludupan.

Rata-rata penduduk kampung mengenali pihak yang terlibat dengan penyeludupan minyak, barang terkawal mahupun barang terlarang seperti ketum tetapi amat menghairankan bagaimana mereka ini tidak dikenakan tindakan.

NURUL

Gombak, Selangor