Perkongsian penulisan oleh wartawan, penulis tulen dan asli, pejuang politik dan penulis upahan memenuhi media sosial yang dibenarkan atau blog persendirian.

Hakikatnya, mungkinkah penduduk dan rakyat ‘Malaysia Baharu’ kini berubah sedikit sebanyak dalam hal agama, bangsa dan negara?

Sikap dan pendirian sesetengah pihak dalam hal profesionalisme keseluruhannya sedikit sebanyak mewarnai pembacaan dan penulisan yang disampaikan.

Namun, ramai juga tidak dapat menyampaikan luahan dan suara hati, malahan lebih ramai yang hanya selaku pemerhati.

Jika dahulu, golongan pendidik, sasterawan dan karyawan kerap diberi peluang menyuarakan pandangan dan pendapat, kini dengan ‘kerajaan baru’ tentunya peluang adalah lebih terbuka. Tetapi adakah ini benar seperti yang dlaungkan?

Lebih banyak hal gembar-gembur politik yang dipaparkan di media dan portal berita, lebih banyak pembongkaran ‘salah laku’ individu dan kroni yang dipaparkan; lebih banyak ‘cerita’ perkauman disiarkan.

Adalah dikatakan hal ‘cintakan tanah air sendiri’ tidak diperjuangkan oleh golongan pendidik mahupun sasterawan.

Untuk seseorang itu menulis, mempersembahkan coretan buah fikiran, penulis mestilah jujur dan berani bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis dengan maksud perlu ada keberanian.

Dikatakan juga harapan dan peluang oleh pihak kerajaan semasa memberikan segala kedudukan, kelebihan, pengalaman dan bakat dalam penulisan untuk membantu sebuah kewujudan negara bangsa.

Kita memerlukan sesuatu penulisan yang baik dan berkarisma, telus dan terbuka, berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling, tanpa ragu dan fakta-fakta yang tidak mengelirukan pembaca.

Sesuatu penulisan itu akan menjadi benar berkesan dan memberi impak jangka panjang, melalui hasil gabungan antara pengalaman dan bakat seseorang dalam kepelbagaian hasil karya.

Penulis diminta membina dan memberikan perspektif yang sebenar dan di luar daripada kebiasaan yang mempunyai nilai dan falsafah sebenar dalam penulisan.

Membaca apa yang ditulis oleh orang lain akan membuat seseorang tertanya-tanya bagaimana penulis berjaya menulis, menjana idea dan menghabiskan masa untuk menulis.

Bukan semua orang adalah penulis berbakat, tidak semua orang mempunyai keinginan untuk berbuat demikian.

Ada juga yang bertanya, apa kamu dapat dengan menulis dalam akhbar? Adakah pihak media memberi ‘saguhati’ jika penulisan anda disiarkan? Jawapan (sedikit hipokrit) mudah adalah ‘kepuasan’.

Bagi pendidik, pelajar akan lebih menghargai guru mereka jika mereka tahu bahawa guru mereka menulis buku, menulis artikel atau melakukan tulisan yang diterbitkan dalam media.

Mereka tahu bahawa guru mereka ‘cakap serupa bikin’, bikin serupa cakap’. Kawan dan rakan sekerja akan turut merasainya dan mereka juga mahu menulis, merasakan mereka turut perlu menulis, tetapi hanya tidak tahu bagaimana untuk memulakan.

Bukannya anda tidak mempunyai idea, mungkin anda mempunyai terlalu banyak buah fikiran dan tidak tahu yang mana satu untuk diutamakan.

Pelajar akan bertanya kepada anda, bagaimana anda mampu mengeluarkan idea-idea atau di mana anda berjaya memperolehnya?

Jawapannya mungkin agak mudah, tulislah apa yang datang dan muncul dalam minda anda.

Sama ada penulisan anda baik atau buruk, tulisan anda adalah milik anda untuk disimpan; jangan berkongsi penulisan anda lagi. Ramai menulis mengenai masa lampau sebagai perancah inspirasi.

Seorang penulis itu menulis apa sahaja untuk mengingati sesuatu, mengkarya tulisan mereka untuk merenung masa lalu kerana kisah silam penuh dengan perkataan yang tidak disebutkan atau diungkapkan.

Ramai juga yang menulis mengenai pemikiran masa nyata. Memang benar jika anda berfikir tentang sesuatu untuk menulis dan tidak mempunyai idea mengenai apa yang hendak ditulis, ia tentunya sangat mengecewakan.

Menulis dalam masa nyata boleh menjadi permulaan.Hemingway (penulis terkenal) menghadapi keadaan yang sama. Beliau juga dicatatkan turut meninggalkan penulisannya yang belum selesai. Ia boleh menjadi catatan, perenggan atau bab yang belum selesai.

Tidak syak lagi, berhenti sebelum menulis semua yang anda ingin tulis adalah mengecewakan tetapi anda akan teruja untuk kembali menyiapkannya.

Ingatkan diri kita untuk tidak berusaha terlalu keras dan terlalu mengharap ia akan diterbitkan.

Perkara yang baik tentang penulisan hanyalah demonstrasi penulisan itu sendiri, bagaimana ia menghancurkan dan pada masa sama menguatkan realiti kita.

Selalunya kita akan berhenti seketika kerana merasakan idea kita tidak cukup baik. Kita mengharapkan dan menunggu inspirasi dan idea muncul semula dan itu menguatkan semangat kita.

Biarkan orang lain menilai penulisan kita. Kita harus, patut dan mula menulis perkara yang mudah.

Tidak semua yang kita fikirkan dan coret akan menjadi hebat. Walau apa pun, sebahagian daripada kerja menulis itu akan pastinya diperlukan untuk dikongsi dengan orang lain.

AZIZI AHMAD
Kuala Lumpur