Cuma dalam konteks negara kita ini masih terdapat keluarga yang susah sehingga pendidikan anak-anak mereka terabai. Sebagai contoh baru-baru ini saya ada menerima maklumat mengenai dua orang kanak-kanak yang masih belum mendaftar sekolah kerana keluarganya menghadapi masalah kewangan.

Keluarga yang dimaksudkan ini ialah seorang ibu tunggal dan mempunyai lapan orang anak. Disebabkan kemiskinan dua orang anaknya iaitu seorang di tingkatan dua dan seorang di tahun satu sehingga kini masih belum mendaftar diri di sekolah harian berdekatan.

Bagi saya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana pendidikan adalah satu keperluan asas. Sewajarnya dua anak tersebut didaftarkan segera di sekolah harian berdekatan dan kemudian bertemu dengan guru besar atau pengetua serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi menerangkan kedudukan keluarga terbabit.

Sekiranya ibu tunggal ini tidak mampu berbuat demikian, ahli keluarga atau sanak saudara perlu menghulurkan bantuan. Saya yakin pihak sekolah dengan bantuan PIBG akan berusaha mencari dana untuk menampung persekolahan anak-anak tersebut. Apatah lagi kerajaan sendiri serta badan korporat ada menyediakan bantuan-bantuan tertentu bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Untuk makluman semua, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang bertujuan membantu ibu bapa kurang kemampuan menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Melalui KWAPM ini murid miskin dalam kalangan warganegara Malaysia daripada semua bangsa dan agama berpeluang belajar di mana-mana sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan sekali gus mengelakkan keciciran selain meningkatkan tahap pencapaian akademik serta menjana kecemerlangan pelajar secara keseluruhan.

Seperkara lagi golongan susah dan berpendapatan rendah ini perlu mengenali ketua kampung, ketua blok mahu pun ketua taman dan tidak terkecuali wakil rakyat di kawasan mereka bagi memudahkan proses untuk mendapatkan bantuan.

Pesanan saya, janganlah malu jika kita berada dalam kesempitan hidup. Saya yakin pihak berwajib sedia membantu mereka asalkan setiap permohonan dibuat menggunakan saluran yang betul lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan anak-anak. Saya juga percaya luar sana terdapat para dermawan yang sedia menghulurkan sumbangan pada bila-bila masa.

Kepada para dermawan sekalian, semoga Allah SWT sentiasa merahmati anda sekeluarga.

MOHAMMAD 
NOORIZZUDDIN NOOH

Universiti Sains Islam Malaysia