Setelah kerajaan bertukar tangan, usaha menghapuskan Akta Hasutan kembali hidup.

Terdapat tiga sebab utama mengapa rakyat wajib bangkit menentang tindakan kerajaan itu yang merugikan negara dan rakyat jelata.

* Akta Hasutan penting untuk melindungi kontrak sosial yang dipersetujui sejak merdeka lagi. Secara ringkasnya, isi kandungan kontrak sosial ialah orang Melayu menerima imigran Cina dan India sebagai warganegara.

Imigran Cina dan India mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Imigran Cina dan India juga mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Imigran Cina dan India mengiktiraf hak istimewa orang Melayu dan imigiran Cina dan India mengiktiraf kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Justeru itu, akta ini amat diperlukan untuk mengajar mereka yang tiada sensitiviti terhadap isi kandungan kontrak sosial.

* Akta Hasutan juga berfungsi untuk menangkis ancaman yang mungkin berlaku.

Tiada siapa boleh nafikan keganasan terancang boleh berlaku jika Akta Hasutan dimansuhkan. Akta ini juga berfungsi untuk mengekang ancaman yang boleh menjejaskan sosiopolitik di negara ini.

“Akta Hasutan adalah khusus untuk mengekang terjadinya sesuatu perkara yang dibimbangi mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat berbilang kaum, kedudukan Sultan, agama, dan sebagainya,” jelas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu kenyataan.

Jelaslah bahawa Akta Hasutan amat penting sekali untuk mengekang sebarang ancaman yang membahayakan nyawa rakyat negara ini tanpa mengira agama atau pun bangsa.

* Akta Hasutan sangat diperlukan untuk menjamin kestabilan, keamanan, dan keharmonian rakyat di negara ini.

Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mempunyai perbezaan budaya dan agama.

Sesungguhnya akta ini amat diperlukan untuk menjamin kestabilan, keamanan, dan keharmonian yang kita rasai selama ini.

Intisarinya, Akta Hasutan 1948 perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun kerana akta ini secara khusus dapat melindungi kontrak sosial, mengekang ancaman, dan menjamin keamanan.

IKRAM YUSOF

Universiti Tun Abdul Razak