Sebagai contoh, dalam Kementerian Sumber Manusia, pelbagai jabatan mempunyai pasukan penguat kuasa sendiri dengan bidang kuasa terhad yakni Jabatan Buruh hanya boleh ambil tindakan terhadap majikan culas membayar gaji.

Manakala Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pula tertumpu kepada syarikat yang mengabaikan kebajikan pekerja dan keselamatan tempat kerja.

Maknanya, pegawai DOSH tidak boleh mengambil tindakan sekiranya terjumpa majikan yang mengupah pendatang tanpa izin atau pekerja asing tanpa permit kerana itu bukan bidang kuasanya, malah tidak boleh mengambil tindakan kerana tiada locus standi atau kuasa mengambil tindakan.

Hampir 35 tahun sebagai kakitangan awam, sudah berkali-kali cadangan diketengah untuk menggabung dan menswasta semua agensi yang pelbagai penguatkuasaan di bawah satu entiti penguatkuasaan mencakupi semua aspek pematuhan, baik babitkan majikan atau pekerja, sekali gus menjimatkan tenaga kerja.

Selaras dasar kerajaan mahu perkecil saiz sektor awam, unit penguatkuasaan ini boleh dipertimbang untuk penswastaan dengan lesen diberi kepada pembida tertinggi dan pihak kementerian bertindak sebagai pengawal selia yang boleh menarik balik lesen sekiranya ada syarikat melanggar syarat.

Ambil iktibar Singapura, yang menswasta beberapa aspek penguatkuasaan, umpamanya khidmat polis bantuan diswastakan kepada lima syarikat komersial atau langkah Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menswasta khidmat pemeriksaan kenderaan dan penguatkuasaan bagi kesalahan meletak kenderaan.

Penswastaan ini sejajar dengan pengumuman Dr. Mahathir tempoh hari yang mahu mengurangkan saiz sektor awam negara dan sektor swasta pula manfaatkan peluang perniagaan ini dengan menawarkan insentif gaji lebih menarik kepada kakitangannya manakala rakyat dapat perkhidmatan terbaik.

Harap Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, dapat beri perhatian serius yang bukan saja dapat meningkatkan kecekapan guna tenaga sumber manusia, sebaliknya kakitangan terbabit turut berupaya meraih pendapatan lebih tinggi.

Pesara Marhaen.