Sudahlah ramai peniaga menggunakan alasan pengenalan GST untuk menaikkan harga produk dan perkhidmatan tetapi masih berani mengekalkan amalan ‘mencuri’ duit cukai yang dibayar pengguna.

Amalan menipu duit cukai daripada pengguna yang sepatutnya masuk ke dana awam kerajaan menjadi antara punca utama GST diperkenalkan pada 1 April 2015 bagi mengelakkan peniaga terus menipu caj produk atau perkhidmatan mereka mahupun mencuri dana awam negara.

Sistem cukai lama membolehkan sesetengah peniaga mengenakan harga caj yang kononnya termasuk kiraan cukai tetapi jumlah ‘cukai’ yang sepatutnya diserahkan kepada kerajaan itu tidak masuk ke dalam rekod dan dikira sebagai pendapatan atau keuntungan perniagaan mereka.

Masuk tahun kedua pelaksanaan GST, tauke-tauke tamak ini masih cuba menipu dan mencari ‘lubang’ dalam sistem cukai baharu supaya boleh terus mencuri duit daripada rakyat dan tabung dana awam kerajaan.

Ada juga peniaga sanggup menaja ahli politik tertentu untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan kerana melaksanakan GST susulan aliran tunai mereka sudah tidak boleh dimanipulasi seperti dahulu.

Kononnya rakyat membayar lebih mahal dengan GST sedangkan caj cukai itu sepatutnya sudah termasuk dalam harga barang atau perkhidmatan mereka sama ada dalam sistem cukai lama ataupun baharu.

Sebenarnya duit pengguna telah ditipu dua kali oleh peniaga jenis ini, kali pertama bila pengguna perlu membayar harga produk atau perkhidmatan termasuk harga cukai dan sekali lagi bila duit cukai yang telah dibayar itu tidak masuk ke dana awam kerajaan.

Dana yang digelar ‘duit rakyat’ oleh sesetengah ahli politik ini sepatutnya boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan, subsidi, biasiswa atau pinjaman pendidikan, gaji kakitangan awam serta infrastruktur awam tetapi akhirnya masuk ke kantung peniaga tamak kerana mahu menjadi lebih kaya dan hidup mewah.

Bayangkan jika cuma 10 peratus daripada jumlah kutipan GST RM41.2 bilion pada 2016 ditipu peniaga, pengguna di Malaysia sudah rugi RM8.24 bilion.

Dua kali ditipu, pengguna telah membayar cukai RM4.12 bilion tetapi dana awam kerajaan yang sepatutnya kembali kepada rakyat kekurangan RM4.12 bilion kerana dicuri peniaga.

Dengan RM8.24 bilion, 200,000 syarikat tersebut boleh menggunakan duit rakyat itu untuk membayar gaji sekurang-kurangnya tiga orang pekerja selama setahun.

Sama ada menjimatkan kos gaji pekerja atau pun menghabiskannya dengan berbelanja mewah, peniaga yang menipu ini hanya merasakan RM8.24 bilion sebagai satu jumlah kecil tetapi bagi rakyat khususnya penerima Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) mahupun biasiswa pendidikan, nilainya sangat besar.

Sesuai dengan jumlah besar dana awam yang ditipu, saya menyeru kerajaan menetapkan untuk tidak mengenakan hukuman denda sebaliknya terus menjatuhkan hukuman penjara.

Jika didenda berjuta ringgit sekali pun, tentu mereka mampu membayarnya dan hanya hukuman penjara, sebat atau hukuman berat yang boleh menjadi teladan kepada peniaga lain.

JKDM memaklumkan peniaga boleh dikenakan penalti sehingga 40 peratus daripada amaun ‘ditipu’ tetapi sebenarnya jumlah itu sangat kecil bagi tauke-tauke bertaraf jutawan dan bilionair.

Jika mereka menipu RM10 juta, denda RM4 juta hanya satu jumlah kecil malah mereka dapat menyimpan baki wang menipu cukai sebanyak RM6 juta.

Jika mahu hukum denda, ambil contoh hukuman di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 - dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tipu RM10 juta, perlu bayar RM50 juta! Barulah peniaga akan berasa takut dan menjadi teladan kepada peniaga-peniaga lain kelak.

KAMARUL HISHAM

Keramat, Kuala Lumpur