Ekoran pendedahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, bahkan ahli ekonomi dan penganalisis kewangan serta korporat.

Apa pun pandangan mereka, yang penting Tabung Haji sebagai institusi Islam dan orang Melayu mesti dipertahankan secara mutlak.

Ini kerana ia merupakan satu-satunya institusi Islam dan orang Melayu yang telah berjaya mengumpul simpanan bukan sahaja untuk menunaikan Rukun Islam kelima tetapi sebagai tempat melabur bagi mereka yang berkemampuan.

Sesungguhnya pulangan pelaburan dalam Tabung Haji tidaklah begitu lumayan jika dibandingkan dengan pelaburan lain. Namun ia ada tarikan dan keistimewaan tersendiri.

Pertama, dividen atau hibah adalah bersih setelah ditolak zakat. Kedua, kesemua pelaburannya mematuhi hukum syariah.

Faktor-faktor inilah yang telah menarik serta menggalakkan orang Melayu dan Islam menyimpan dan melabur dalam Tabung Haji.

Cadangan supaya jumlah pendeposit dihadkan seperti diuar-uarkan adalah satu tindakan tidak bijak. Sepatutnya Tabung Haji menggalakkan orang Islam yang kaya raya melabur di situ tanpa had?

Tabung Haji bukan syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan pemegang-pemegang sahamnya saling bertukar ganti dan juga penguasaan pengurusannya. Risiko sedemikian tidak timbul dalam Tabung Haji.

Apa yang Tabung Haji hadapi sekarang adalah pengurusan tidak cekap dan amanah serta tadbir urus lemah dan tidak telus. Oleh sebab itulah prestasinya merudum.

DATUK AHMAD SIDEK

Petaling Jaya