Turut membimbangkan kebanyakan kes tekanan perasaan ini dialami oleh wanita jika dibandingkan dengan lelaki kerana dari segi biologinya, wanita memiliki bahan kimia dalam otak yang cenderung kepada kemurungan berbanding lelaki termasuklah sikap overthinking. Tambahan pula wanita lebih cepat mengalami perubahan kadar hormon khususnya waktu bersalin dan mendekati putus haid.

Selain suka memendam perasaan, faktor lain turut menyumbang kepada kemurungan seperti mengalas pelbagai tugas dalam kerjaya sehinggakan tidak dapat mengurus emosi dan beban kerja berlebihan. Selepas waktu kerja, wanita perlu mengurus rumah tangga, membesarkan anak dan menjaga orang tua di mana semuanya diletakkan di bahu wanita. Disebabkan tekanan yang tidak dapat dibendung, faktor-faktor ini menjadikan wanita lebih mudah terkena simptom kemurungan.

Apa itu kemurungan? Menurut kamus psikologi, individu yang mengalami masalah itu akan mempunyai perasaan sedih dan hilang minat untuk hidup. Menjadi wanita berkerjaya dan pada masa memikul beban sebagai seorang ibu bukan mudah. Di Malaysia, tahap kesedaran terhadap kesihatan mental ini masih jauh. Kebanyakan kita tidak dapat mengklasifikasikan kemurungan sebagai penyakit walhal itu adalah perkara yang benar. Ada juga mengatakan mereka yang mengalami masalah itu kerana lemah iman walhal ia adalah penyakit yang perlu dirawat.

Kemurungan adalah penyakit kedua tertinggi di dunia dan bakal menjadi yang pertama menjelang 2020, oleh yang demikian sokongan ahli keluarga dan rakan sekeliling amat penting supaya wanita yang mengalami kemurungan dapat mengatasinya.

Amat penting bagi seseorang itu mengetahui ciri-ciri kemurungan seperti mempunyai mood yang mudah berubah secara tiba-tiba, berasa sedih secara berterusan, putus asa dalam hidup, sering menyalahkan diri sendiri dan berasa ingin membunuh diri.

Jangan teragak-agak merujuk kepada pakar psikiatri sekiranya anda atau orang sekeliling menghadapi kemurungan sebelum keadaan menjadi lebih parah.

ARBANAH MUHAMMAD

Pensyarah UiTM Pasir Gudang