Koordinasi Nadma dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan penyelamat serta pertubuhan bukan kerajaan juga membolehkan tindakan awal dalam menyelamat dan menyelaras bantuan kepada mangsa banjir dilakukan dengan lebih tersusun.

Pengalaman berharga Nadma mengurus bencana banjir di Kemaman telah dijadikan model Prosedur Operasi Standard (SOP) pelan pengurusan banjir. Ia bukan sahaja mencapai piawaian gold standard di dalam negara, bahkan diiktiraf di peringkat dunia apabila menerima anugerah pada Sidang Kemuncak mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) di Geneva pada 2015.

Usaha berterusan Nadma memberi pengetahuan mengenai ancaman banjir menerusi program Bulan Kesiapsiagaan Nasional setiap Oktober telah meningkatkan kesedaran rakyat khususnya di kawasan berisiko banjir, sekali gus memudahkan lagi usaha memindah dan menyelamat. Antaranya, program latihan simulasi menghadapi bencana melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

Menerusi latihan simulasi itu, beberapa aspek pengurusan banjir seperti menyelamat dan memindah mangsa, pengurusan makanan serta penyediaan ubat-ubatan dan lain-lain didedahkan kepada anggota masyarakat.Hasil latihan seumpama, ketua di peringkat komuniti mampu menggerakkan sendiri pengurusan banjir sebelum ketibaan agensi penyelamat.

Sementara itu, kerajaan disaran memperluaskan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti (CDERT) agar melibatkan lebih ramai penyertaan penduduk setempat sebagai kumpulan awal menggerakkan bantuan bencana.

Sememangnya kita tidak mampu meramal tahap bencana alam namun usaha terbaik perlu dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

MOHD. AYOP ABD. RAZID

Selayang Baru, Kuala Lumpur