Kombinasi UMNO dan Pas khususnya serta bantuan daripada parti komponen BN turut mendapat sedikit sebanyak keyakinan daripada pengundi bukan Melayu, malah situasi seperti ini dilihat sebagai langkah permulaan yang positif bagi mengurangkan sokongan bukan Melayu terhadap parti komponen PH khususnya DAP .

Tidak dinafikan semenjak perubahan iklim geopolitik secara mengejut selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) malah sudah hampir setahun kerajaan PH berkuasa, keadaan menjadi semakin ‘gawat’ buat rakyat yang semakin terasa dihimpit dengan masalah ‘defisit ekonomi keluarga’ apatah lagi kaum majoriti adalah paling terkesan akibat tersilap memilih calon.

Elemen ‘Melayu tikam Melayu’ tetapi menguntungkan pihak lain semata-mata bagi mendapatkan kuasa politik adalah perkara pokok umpama mimpi ngeri sehingga menggamit kepada liabiliti sokongan kaum Melayu terhadap kerajaan PH khususnya kepimpinan Melayu mereka.

Justeru, majoriti pengundi Melayu di DUN Rantau termasuk penyokong tegar PH sendiri atas dasar keinsafan mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau sekalipun menyedari beliau daripada pembangkang.

Aktivis Politik

Kuala Lumpur