Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Berkaitan isu itu, kita perlu berbalik kepada punca masalah. Selama hari ini kita terlalu fokus kepada sikap pemandu tidak bertanggungjawab seperti menggunakan lorong kecemasan, menukar laluan secara semberono, memandu terlalu laju dan menggunakan telefon bimbit, sebagai antara punca kemalangan.

Begitupun kita tidak boleh menafikan bahawa reka bentuk sistem dan tahap penyelenggaraan jalan raya juga menjadi punca kemalangan seperti ketiadaan lampu jalan, jalan raya tidak rata dan berlopak-lopak, bottleneck di simpang jalan, tiada papan tanda dan sebagainya. Dalam hal sebegini, siapakah yang harus bertanggungjawab?

Kita jangan lupa bahawa kehadiran pihak berwajib atau pihak berkuasa berkenaan juga memainkan peranan penting dalam menangani isu tersebut. Kehadiran pihak berkuasa berkenaan khususnya untuk meninjau tahap keselamatan jalan raya serta menguatkuasakan tindakan undang-undang ke atas pesalah jalan raya mampu mengubah keadaan.

Ada yang mengatakan pendekatan sedemikian sepatutnya diambil sebagai usaha terakhir untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya. Namun, kita juga tidak boleh menafikan keperluan untuk melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan, dan bukan mengikut musim.

Mungkin langkah proaktif yang boleh diambil adalah dengan menguatkuasakan kesedaran awam untuk melaporkan apa yang mereka lihat berkaitan semua kesalahan trafik dan gangguan lalu-lintas. Antaranya, merakam dan merekodkan video perlakuan pesalah lalu-lintas dalam semua platform media sama ada media cetak, elektronik dan media sosial.

Pendekatan empati adalah pendekatan terbaik dan berjangka panjang sebagai pendekatan deterrence atau pencegahan. Justeru, kita perlu menjadikan empati sebagai budaya hidup masyarakat agar melakukan apa yang kita mahu orang lakukan kepada kita.

TAN SRI LEE LAM THYE

Ahli Majlis Keselamatan

Jalan Raya