SAYA sangat bersetuju dengan komen ANAK TENTERA dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 10 Mac lalu mengenai pengkhianat yang suka menghina negara sendiri seperti mana mereka mencaci ahli politik dalam kerajaan.

Golongan taksub politik ini bukan sahaja tidak boleh atau tidak mahu membezakan antara isu ahli atau parti politik dengan isu negara malah dengan begitu bersahaja mendedahkan maklumat sulit dan aib kita kepada negara luar.

Bukan sahaja perkara berkaitan isu ekonomi yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing, golongan taksub ini mengikut telunjuk idola politik mereka dengan mendedahkan rahsia ketenteraan dan kemampuan pertahanan negara.

Saya tahu kerajaan Malaysia banyak memberi kelonggaran kepada semua rakyat bebas bercakap dan menulis dalam media sosial tetapi janganlah dibiarkan sampai melampau sangat.

Jika isu politik biarkan ‘luncai dengan labu-labunya’ tetapi bila melibatkan hal keselamatan dan imej negara perlu ada tindakan tegas.

Biarlah mereka mahu tuduh kerajaan sekat suara bebas atau tindas musuh politik, jangan sampai negara luar nampak kita lemah dari segi kepimpinan politik, ekonomi dan pertahanan kerana akhirnya semua rakyat Malaysia akan terjejas disebabkan segelintir pengkhianat tersebut.

Baru-baru ini isu kapal selam negara sekali lagi menjadi sasaran dengan bermacam tuduhan seperti mana seorang idola politik mereka mendedahkan kemampuan pertahanan laut kita di Indonesia beberapa tahun lalu.

Sudah menjadi klise bagi mereka menghina kemampuan kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kononnya tidak boleh menyelam malah tanpa rasa malu membandingkan aset ketenteraan negara dengan Korea Utara seolah-olah kita akan kalah jika perang meletus.

Selain kemampuan nuklear, Malaysia mendahului negara komunis tersebut dalam banyak perkara terutama sekali sokongan antarabangsa dan hubungan diplomatik rapat dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Golongan pengkhianat ini perlu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) supaya menjadi pengajaran kepada sesiapa yang cuba mempersenda, memburukkan mahupun mensabotaj negara.

Kerajaan dan pihak berkuasa tidak boleh gentar berdepan dengan taktik ‘gerila media sosial’ mereka sehinggakan pelaburan asing ditarik balik, hubungan dua hala dengan negara lain terjejas malah imej negara tercemar di persada antarabangsa.

Jika terus dibiarkan mereka mahupun idola politik mereka mempermainkan dan mencemar imej negara, waris negara kita yang akan merana kelak. Sampai masanya kita bijak membezakan isu politik dan isu negara.

KOLONEL BERSARA

Gurun, Kedah