Dalam isu pelantikan Undang Luak Jelebu Ke-16, nampaknya isu ini perlu dipulangkan semula kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan untuk perhatian khusus kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga pengerusi dewan tersebut.

Masyarakat adat Jelebu yang sentiasa mengikuti setiap perkembangan terbaharu kini tertanya-tanya selepas munculnya seorang lagi calon yang diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu iaitu Baharuddin Zainal.

Pelantikannya menjadi tanda tanya kerana didakwa tidak mengikut ketertiban nama tiga daripada 10 calon terakhir yang ditentukan oleh tiga Dato’ Lembaga luak terkanan untuk dicabut satu nama sebelum diumum kepada khalayak adat.

Apa yang berlaku dalam pengumuman di Kampung Bemban, Jelebu pada 14 Mac lalu adalah nama Baharuddin yang juga seorang anggota polis pada awalnya tidak termasuk dalam senarai terakhir. Tiga calon terakhir itu sebenarnya terdiri daripada kalangan profesional, pensyarah dan guru.

Sebelum nama penyandang diumumkan, 10 calon tersebut telah diminta menandatangani borang supaya bersetuju tiada bantahan dibuat.

Ramai calon tidak menyedari bahawa ada satu lagi borang untuk membuat bantahan tetapi tidak diumumkan pada majlis itu. Hanya dua calon yang tidak mengisi borang tersebut.

Dalam majlis semalam, tidak semua Dato’ Lembaga yang sah, hadir. Mereka ialah Dato’ Ombi Pangkal Maharajalela, Kadin Kidam; Dato’ Maharaja Inda, Mohd. Nordin Mansor dan Dato’ Senara Angsa, Rosli Mohd Zain.

Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ibrahim Harun yang membuat pengumuman itu daripada awal telah memohon maaf pada hadirin agar menerima pengisytiharan itu sebelum menyebut nama Baharuddin.

Dalam menghadapi krisis yang sentiasa bercelaru ini, kami sebagai anak waris yakin dengan keprihatinan Tuanku Muhriz yang sentiasa mengikuti perkembangan ini dengan penuh teliti. Kami yakin baginda dapat memainkan peranan yang baik demi masa depan negeri berwarisan adat ini.

WARIS SETIA LUAK JELEBU

Negeri Sembilan