Bukan sahaja kes bunuh bapa, ibu atau adik-beradik sendiri, ada kes pesakit mental mengamuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang awam.

Puncanya mungkin melibatkan warisan genetik, kerosakan otak hasil ketagihan dadah atau mungkin kecederaan fizikal otak akibat kemalangan.

Namun, perkara paling penting adalah bagaimana keluarga dan waris pesakit mental menguruskan mereka khususnya melibatkan rawatan dan tempat tinggal lebih-lebih lagi jika pesakit bersifat agresif dan berbahaya kepada keselamatan diri, keluarga dan orang awam.

Dalam hal ini, para penduduk Blok 57 Flat Sri Johor, Cheras kini menghadapi tekanan ekoran terdapat seorang penghuni di situ selalu mencetuskan kekecohan dan melakukan kekerasan. 

Malah pernah lelaki berkenaan menetak penghuni lain sehingga cedera parah. Suasana kehidupan di perumahan kami ini tidak tenteram dengan gelagat lelaki itu yang adakalanya membawa pisau atau parang. 

Sebelum insiden serangan oleh lelaki yang disyaki tidak siuman itu, aduan  polis telah dibuat di Balai Polis Salak Selatan tetapi tidak berkesan dan seolah-olah penghuni lain serta pengadu pula yang bermasalah.

Saya hairan mengapa lelaki itu mudah sahaja dilepaskan seperti dia mempunyai imuniti sedangkan ini melibatkan soal nyawa dan keselamatan penghuni lain.

Saya dan penghuni lain di sini melalui sendiri kehidupan harian bersama lelaki bermasalah tersebut yang mudah menjadi ganas tanpa dijangka dan ini bukannya satu khayalan atau bersangka buruk.

Saya memohon Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Kuala Lumpur, IPD Cheras serta Jabatan Integriti PDRM meneliti masalah penduduk Flat Sri Johor yang kini hidup dalam ketakutan khususnya memikirkan keselamatan keluarga dan anak-anak.

Jabatan Integriti boleh menemuramah penduduk berhubung masalah ini termasuk kekecewaan kerana aduan mereka hanya sia-sia.

Ketakutan terhadap lelaki disyaki bermasalah mental itu turut dirasakan oleh penghuni blok lain. Sebelum sesuatu yang lebih buruk terjadi, saya harap polis serta pihak berwajib bertindak menempatkan lelaki tersebut ke pusat pemulihan, hospital atau tempat tinggal dengan kemudahan sewajarnya.

Kami juga kecewa kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga seperti lepas tangan walaupun aduan rasmi telah dibuat oleh jawatankuasa penduduk sebelum ini. Bertindaklah sebelum nasi menjadi bubur.


GENG PENGHUNI AMAN
Flat Sri Johor,

Kuala Lumpur