Tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan untuk menutup lokasi penyediaan sate itu selama 14 hari adalah sangat tepat, supaya pengusahanya dapat memperbaiki kelemahan dan meningkatkan tahap kebersihan.

Ia juga seharusnya menjadi pengajaran kepada lain-lain pengusaha gerai atau kedai makanan untuk memastikan soal kebersihan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Ini kerana kekotoran boleh memudaratkan kesihatan awam.

Sebenarnya apa yang dipaparkan oleh akhbar hanyalah bak kata pepatah Inggeris 'tips of the iceberg' , daripada satu yang didedahkan terdapat berpuluh-puluh lagi masih menjalankan kegiatan yang sama tetapi belum ditemui atau diketahui.

Kebelakangan ini semakin ramai masyarakat Malaysia, khususnya golongan muda yang bekerja dan kesibukan atau kesuntukan masa menjadikan gerai, kantin, warung atau restoran tempat mereka menjamu selera.

Bagaimanapun, apakah ada antara kita yang mahu mengambil berat soal kebersihan penyediaan makanan yang disajikan?

Kita kerap memberi rating sesuatu tempat menjamu selera melalui apa yang dihidangkan di atas pinggan.

Jadilah pengguna yang bijak dengan menilai atau memikirkan proses sajian itu disediakan sebelum ia menjadi makanan untuk dijamah.

Sebagai contoh, di sebuah pasar malam, sebuah gerai dikunjungi ramai kerana keenakan hidangan yang dijual.

Bagaimanapun apabila saya terlihat keadaan dalam van yang digunakan untuk mengangkut makanan tersebut, didapati comot dan kotor. Saya terus membayangkan keadaan dapur peniaga itu dan akhirnya saya membatalkan hasrat untuk membeli barang jualan mereka.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah kerana apa yang kita makan akan menjadi darah daging kita dan jika kita membuat silap ia boleh memudaratkan kesihatan diri dan keluarga.

TEMPE PUN SEDAP

Kajang, Selangor