Adalah difahamkan, khidmat polis bantuan terpaksa digunakan bagi menjaga keselamatan hospital berkenaan setelah pengawal keselamatan yang bertugas secara kontrak tidak hadir bertugas kerana mereka tidak dibayar gaji sejak September lalu.

Pihak kami dimaklumkan kes pengawal keselamatan tidak dibayar gaji itu sudah dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja, majikan dan pihak pengurusan hospital tetapi sehingga kini tiada sebarang langkah telah diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Jika pekerja bertugas di pusat pentadbiran negara tidak mendapat pembelaan bagaimana pula dengan nasib pekerja-pekerja kontrak di jabatan kerajaan seluruh negara yang turut mengalami masalah sama apabila gaji mereka tidak dibayar?

Kes di Hospital Putrajaya bukanlah fenomena baharu kerana pada tahun ini, lebih 120 pekerja pembersihan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, tidak dibayar gaji lebih empat bulan. Ini menyebabkan mereka tidak hadir bekerja sehingga hakim dan kakitangan mahkamah terpaksa melakukan gotong-royong membersihkan tandas.

Kenapa kontraktor yang mempunyai rekod buruk mendapat tender kerajaan? Persoalan yang lebih pokok, kenapa pekerja di premis kerajaan harus dilantik secara kontrak?

Sistem kontrak adalah satu fenomena baharu bagi menggantikan pekerja tetap yang menjadi amalan sebelum ini. Sistem itu menyebabkan pekerja hilang hak mereka apabila tidak mendapat sebarang jaminan untuk kenaikan gaji dan gaji lebih masa serta faedah-faedah lain seperti cuti tahun dan cuti sakit.

Kerajaan Pakatan Harapan harus memandang serius isu ini dan mengambil langkah segera untuk menyelamatkan pekerja kontrak yang ditindas ini.

Perubahan harus dimulakan oleh pihak kerajaan. Kita perlu kembali ke zaman sebelum 1980-an yang menyaksikan ketika itu semua pekerja di premis kerajaan adalah kakitangan awam. Keadaan itu harus dikembalikan.

M. SIVARANJANI
Penyelaras Biro Pekerja Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM)