Pengalaman menggunakan tren komuter dari Stesen Tanjung Malim ke Kuala Lumpur dan seterusnya transit aliran ringan (LRT) serta transit aliran massa (MRT) mengingatkan saya perkara sama yang dialami di Brisbane, Australia pada 2005.

Kemudahan tren yang cekap memberi peluang kepada saya untuk bergerak dalam rangkaian yang luas sehingga ke Stesen Helensvale untuk ke Gold Coast. Sebagai pelancong ketika itu, pergerakan saya menjadi mudah. Tiket boleh digunakan di mana-mana sahaja selagi berada dalam rangkaian ditetapkan.

Benarlah rangkaian sistem pengangkutan awam komprehensif dan cekap dalam bandar dan antara bandar amat diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan sesebuah bandar raya sebagai pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa.

Saya berpandangan bandar raya ini berada pada landasan tepat bagi mencapai aspirasi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang meletakkan sasaran untuk menjadikannya tempat yang memainkan peranan global dan subglobal utama demi kepentingan masyarakat setempat, pekerja, pelawat dan pelabur.

Sekarang, semua itu berada di hadapan mata. Bukan lagi gambar atau lakaran pelan yang ditunjukkan di ruang pameran. Kemudahan bertaraf dunia tentunya tidak akan menjadi kenyataan tanpa penglibatan semua pihak khususnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menghayati denyut nadi dan aspirasi rakyat.

Saya berasa amat bertuah kerana dapat singgah di Kuala Lumpur ketika bandar raya ini bakal menyambut Hari Wilayah 2018 pada Khamis ini. Betapa selesanya menaiki pengangkutan awam berbanding menggunakan kereta.

Selamat menyambut Hari Wilayah kepada semua warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

AHMAD FIRDAUS

Tanjung Malim