Saya dibesarkan di sebuah bandar kecil di Kelantan yang pada ketika itu cukup ketinggalan dengan bahan bacaan untuk keperluan pelajar sekolah. Mujurlah ketika itu ada sebuah kedai menjual surat khabar dan menyediakan khidmat mengedar akhbar kepada pelanggan di rumah.

Salah sebuah rumah pelanggan kedai tersebut yang melanggan UM adalah cikgu saya yang mengajar Bahasa Melayu. Waktu itu, UM akan sampai di rumahnya sekitar pukul 4.30 petang. Justeru, saya bersama adik saya dan anak-anak cikgu berkenaan menunggu ibarat menunggu buah durian kedatangan UM.

Dengar saja deruan motosikal penghantar surat khabar, saya berlari untuk mendapatkan naskhah yang telah dilanggan untuk dibaca.

Sejujurnya, banyak input yang diperolehi dan saya mula belajar membaca dan membina ayat-ayat, memperkayakan pembendaharaan kata daripada hasil bacaan ini.

Begitu, juga apabila saya memasuki alam sekolah menengah, mahasiswa, alam sebagai penjawat awam dan seterusnya pesara kerajaan. Saya masih tetap setia bersama Utusan Malaysia.

Sekarang, saya cukup risau tentang masa depan akhbar ini. Benar seperti yang didalilkan oleh saudara Jasni bahawa yang pasti, pusat penjualan akhbar juga semakin berkurangan. Hakikatnya, tiada penjual akhbar yang berani mengambil 50 naskhah setiap hari.

Kebenaran ini terbukti apabila saya kembali ke daerah asal saya apabila begitu sukar untuk mendapatkan senaskhah akhbar ini selepas pukul 9 pagi disebabkan permintaan untuk akhbar ini begitu berkurangan sekali.

Justeru, marilah kita hayati kedua-dua tulisan di atas kerana jasa UM kepada kita semua cukup besar seperti mana tagline iaitu MINDA RAKYAT. Saya dengan ikhlas hati berdoa agar UM terus hidup dan tiada usaha yang dibuat oleh pihak tertentu untuk menyekat penerbitan akhbar Utusan Malaysia.

DRZ

Guchil, Kuala Krai, Kelantan.