Jika tempoh perkhidmatan melebihi 30 tahun, pesara kerajaan akan menerima pencen atas kadar 60 peratus daripada gaji akhir mereka berbanding sebelum 2009 iaitu jumlah pencen maksimum bagi tempoh melebihi 25 tahun hanyalah 50 peratus daripada gaji akhir.

KERATAN Utusan Malaysia 15 Januari 2019.
KERATAN Utusan Malaysia 15 Januari 2019. 

Selain itu, bermula 1 Januari 2013, bayaran pencen juga telah diselaraskan dengan kenaikan sebanyak dua peratus daripada nilai pencen yang diterima pada tahun sebelumnya dan kenaikan itu dilaksanakan pada Januari setiap tahun.

Dasar sedia ada masih terpakai untuk proses pembayaran pencen kepada pesara dan JPA sentiasa mengambil perhatian terhadap kebajikan pesara dengan mengambil kira kepentingan kerajaan dalam setiap cadangan penambahbaikan Skim Pencen yang dilaksanakan.

Untuk makluman, sebarang perkembangan terkini sentiasa dimaklumkan oleh JPA kepada pesara kerajaan melalui beberapa saluran komunikasi termasuk portal www.jpapencen.gov.my, laman rasmi Facebook Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen) dan aplikasi MyPesara.

Di samping itu, bagi mendapat khidmat nasihat atau sebarang pertanyaan lanjut, pesara kerajaan boleh menghubungi secara terus talian 03-88878777 atau 03-88854014 mengikut waktu operasi pejabat.

Selain itu, JPA turut mengadakan sesi libat urus dan jalinan kerjasama strategik bersama Persatuan Pesara Kerajaan dengan mengadakan program turun padang bagi menyampaikan maklumat secara terus kepada kumpulan pesara kerajaan di seluruh negara dari semasa ke semasa.

BAHAGIAN KOMUNIKASI JPA

Putrajaya