Semuanya bermula apabila bahasa Inggeris diberi ruang untuk digunakan dalam urusan rasmi negara sebagai bahasa kedua sehingga beransur-ansur mengambil alih peranan bahasa ibunda dalam segenap lapangan kehidupan rakyat.

Terdapat banyak kelompok yang memperjuangkan bahasa pada peringkat akar umbi seperti badan berkanun, seniman, budayawan dan ilmuwan.

Namun perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan menghadapi saat-saat sukar tanpa sokongan daripada sang penguasa. Walaupun akarnya sihat, pohon tanpa daun merimbun lambat-laun akan mati.

Begitulah juga dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat akar umbi yang sukar untuk mencapai kemenangan tanpa dokongan daripada pucuk pimpinan.

Perihal keadaan bahasa kebangsaan di tanah air kita boleh diumpamakan seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Dalam perjuangan memartabatkan bahasa, situasi menang-menang sukar untuk dicapai.

Bangsa yang memuliakan bahasanya terpaksa melepaskan bahasa kedua demi memberi laluan kepada bahasa ibunda.

Lihatlah Iran, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Sekiranya kita bersungguh-sungguh ingin memartabatkan bahasa ibunda, sikap berkompromi perlu diketepikan.

Sama ada memenangkan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Peranan inilah yang perlu digerakkan oleh pejuang bahasa yang berada dalam jentera pemerintahan.

Sekiranya bahasa Melayu yang ingin diangkat, maka bahasa inilah yang akan menjadi satu-satunya bahasa lingua franca dalam segenap kehidupan rakyat Malaysia.

Manakala bahasa Inggeris pula perlu diajar kepada golongan elit dan cerdik pandai agar dapatlah mereka menapis dan menterjemah bahan-bahan ilmiah termasuk berkaitan teknologi, kebudayaan dan hiburan, ke dalam bahasa ibunda buat santapan rakyat jelata.

Tanpa penglibatan pucuk pimpinan negara, perjuangan bahasa pada peringkat akar umbi hanyalah seperti gali lubang, tutup lubang.

Tiada penyelesaian menyeluruh yang dapat dicapai. Kisah-kisah sedih yang sama akan dikitar semula oleh pencinta bahasa pada dekad-dekad yang akan datang.

Barangkali, ketika itu nama bahasa Melayu sudah lenyap di persada antarabangsa.

Semangat bahasa itu mungkin dilahirkan semula dalam jasad baharu yang lebih perkasa. Jasad baharu itu dikenali dengan nama bahasa Indonesia.