Pemilihan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi akan diadakan pada hujung bulan ini. Sepatutnya mereka yang berminat berlumba-lumba mahu menjadi calon tetapi ini berlaku sebaliknya.

Adakah ini disebabkan ’trauma’ berikutan kekalahan pilihan raya baru-baru ini atau adakah kerana UMNO tidak lagi berkuasa dan kini menjadi pembangkang, maka semua jawatan tidak lagi berbaloi untuk dipegang?

Memang benar bila UMNO tidak lagi berkuasa segala bentuk manfaat yang dahulu datang mencurah-curah ibarat air yang sentiasa mengalir sudah tidak ada lagi. Kontrak sama ada kecil, sederhana atau besar akan susah diperolehi.

Jika dapat pun, hanya menerusi persaingan tender terbuka bukan lagi dengan rundingan. Keadaan yang sedemikian sudah tentu menjejaskan kedudukan parti dari segi kewangan. Tambah lagi UMNO Pusat telah menghentikan imbuhan bulanan kepada Bahagian dan Cawangan buat masa ini.

Kepada ahli-ahli akar umbi, kuatkan semangat untuk bangun semula. Inilah masa dan saatnya untuk membuktikan kejujuran dan keikhlasan perjuangan kamu atas dasar bangsa, agama dan tanah air, bukan atas perkiraan wang dan kuasa.

UMNO sering dikaitkan dengan ungkapan cash is king hingga membawa padah dalam pilihan raya baru-baru ini. Tunjukkan jiwa besar kamu dengan perbuatan bukan dengan retorik semata mata.

Jika ketika zaman awal penubuhan parti dahulu ahli-ahli UMNO boleh minum kopi ‘O’ sahaja dan makan biskut keras dalam tin sebagai juadah dalam mesyuarat Cawangan dan Bahagian, mengapa tidak sekarang? Mengapa kita perlu berkhemah di hotel-hotel lima bintang atau pergi ke seberang laut?

Wahai anak bangsaku dan ahli-ahli UMNO sekalian. Jangan dipersiakan pengorbanan mereka yang terdahulu sedangkan kumpulan perintis itu tidak pernah merasa apa jua bentuk kemewahan.

Janganlah tunjukkan sikap yang acuh tak acuh sahaja. Nampak sangat perjuangan mereka dalam UMNO hanya perjuangan peribadi dan untuk perut sendiri, jauh tersasar daripada prinsip perjuangan asal.

Bagi mereka yang telah menyeleweng atau salah laku, biarlah mereka dihadapkan ke muka pengadilan. Begitu juga yang diburu pihak berkuasa, biarlah mereka menjadi orang buruan kerana sesungguhnya mereka tidak layak dipanggil ahli apatah lagi pemimpin UMNO.

Saya rasa masih ramai ahli di luar sana yang mahu tampil ke hadapan untuk mengalas tanggungjawab membangunkan semula UMNO dan mengembalikan kegemilangannya.

Berikan mereka laluan dan peluang untuk berbuat demikian. Bagi mereka yang akan memegang jawatan-jawatan utama kelak, ingatlah tanggungjawabnya sangat besar. Kita doakan mudah-mudahan parti keramat ini akan terus hidup kuat dan subur serta tidak tinggal dalam kenangan sahaja.

DATUK AHMAD SIDEK

Petaling Jaya