Kadangkala dalam keghairahan menyediakan persiapan itu, kita terlupa bahawa kita telah melakukan pembaziran. Kita sering melihat pembaziran makanan yang terlampau banyak berlaku di depan mata kita dilakukan individu mahupun masyarakat sekeliling.

Bulan Ramadan adalah bulan yang paling mulia, tetapi masalah pembaziran makanan sering berlaku setiap tahun pada bulan yang berkat ini.

Kita menganggap bulan Ramadan ini bulan untuk kita berpesta di mana manusia boleh membazirkan makanan secara berlebihan dan sesuka hati.

Masalah pembaziran ini bukan perkara baru sebaliknya sudah bertahun-tahun perkara ini berlarutan dan tiada sesiapa pun mahu ambil peduli.

Satu kajian oleh Solid Waste Management Corporation (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia membuang kira-kira 17,800 tan makanan setiap hari.

Menurut kajian itu juga, sepanjang Ramadan setiap tahun, rakyat di negara ini membuang 270,000 tan makanan yang “tidak diusik” dan masih boleh dimakan.

Antara faktor berlakunya pembaziran makanan di bulan puasa termasuk hidangan bufet di hotel-hotel yang dianggarkan 50 peratus daripadanya dibuang begitu sahaja walaupun pelanggan membayar dengan harga yang tinggi.

Tabiat manusia yang sering mengambil makanan secara berlebihan dan memenuhi pinggan juga adalah salah satu sebab berlakunya pembaziran.

Fiman Allah dalam surah Al-Israa’ ayat 27 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.”

Antara langkah untuk mengatasi masalah pembaziran ialah membuat rekod pembelian. Sebelum kita merekod pembelian kita mestilah merancang terlebih dahulu berdasarkan peruntukan ataupun kemampuan sendiri agar kita tidak membazir.

NUR AZIMAH WAHAB

Kedah