Walaupun kami telah mendengar beberapa usaha yang dijalankan oleh pihak pentadbiran baru melalui wakil rakyat di majlis-majlis yang dihadiri mereka tetapi tidak satu pun maklumat tersebut menggembirakan rakyat negeri ini, termasuk kad kesihatan untuk pesara berjumlah RM500.

Adalah diharapkan dalam Bajet 2019 nanti kerajaan PH dapat membentang pelan ekonomi yang boleh dibanggakan.

Setakat hari ini, cerita bekalan air untuk bangsa Johor tidak mendatangkan keuntungan kepada bangsa Johor sendiri.

Mengenai rundingan dengan Singapura sampai tahap mana? Mungkin tunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru runding semula? Tukar nama dan tambah satu dua laluan Bas Muafakat Johor sekadar menyedapkan hati sahaja.

Melalui wakil pembangkang, sidang Dewan Undangan Negeri nanti kami berharap pemeriksaan rapi dibuat terhadap perkara-perkara seperti laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gemas ke Johor Bahru, Transit Aliran Massa (MRT) dari Bukti Timbalan ke Singapura dan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Lihat juga perkembangan laluan jalan raya dari Pontian ke Johor Bahru yang kerap sesak waktu pagi, kesesakan Tambak Johor pergi balik waktu puncak, kesesakan lebuh raya dekat tol hujung Sedenak, jalan baru Pontian-Johor melalui Kukup dan lebuh raya baharu melalui kawasan Pantai Barat.

Tidak lupa rancangan lapangan terbang baharu, Tabung Warisan Johor (bukan Tabung Harapan), Hospital Baru Daerah Pontian dan banyak lagi pembangunan di Pantai Timur (Mersing-Endau) serta Utara Johor yang Menteri Besar kata kurang dibangunkan semasa era Barisan Nasional terutama Bandar Segamat.

Cukup-cukuplah mencari kesalahan pentadbiran yang lalu. Perkara-perkara seumpama ini harus diberi perhatian supaya setiap usaha dan penambahbaikan akan dikenang di kemudian hari.

Peruntukan begitu besar sudah diagihkan untuk sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sedangkan sekolah kebangsaan masih tidak mendapat perhatian.

Pelantikan ketua kampung pun memakan masa sedangkan melucutkan jawatan boleh berlaku sekelip mata.

Hidup bangsa Johor menjadi sukar kerana pengesahan untuk nikah, pengesahan kemasukan ke universiti pun jadi sulit untuk orang kampung dan pelajar.

Wakil rakyat PH juga didapati tidak mempunyai pejabat pentadbiran sendiri di kawasan mereka malah tiada pembantu yang boleh berurusan dengan rakyat sehingga menimbulkan masalah kepada bangsa Johor.

Harap perkara ini mendapat perhatian pentadbiran PH.

ZULKAS

Kg. Tengah Ayer Baloi