PKR pula dilaporkan menerima permohonan ahli yang ramai menurut salah satu portal berita.

Tidak perlu saya analisis situasi politik sekarang yang banyaknya adegan lompat-melompat kerana sudah banyak ‘pakar’ membahaskan hal tersebut. Apa yang pasti, tindakan ahli Parlimen yang menukar haluan politik sememangnya tidak patut.

Memang benar, kita perlukan sebuah kerajaan yang kuat. Akan tetapi, kita juga perlukan pasukan pembangkang yang mantap untuk membela rakyat jelata. Persoalannya, bagaimanakah membina pakatan pembangkang yang kuat dan mantap?

Langkah klise dan wajib dilakukan ialah pembangkang harus bersatu-padu. Jika jenama Barisan Nasional (BN) sudah menjadi liabiliti dan tidak laku lagi, maka gantilah dengan gabungan baharu.

Gabungan ini hendaklah mewakili semua pihak di Malaysia lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak. Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan sebenarnya sudah boleh membentuk kerajaan sejak dua pilihan raya umum (PRU) yang lalu tetapi gagal kerana UMNO dan BN diselamatkan oleh kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak.

Selain Pas, UMNO sepatutnya merisik parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak. Sekiranya semua parti pembangkang bergabung di bawah satu pasukan maka peluang pembangkang berkuasa amat tinggi.

Oleh itu, pembangkang seluruh Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah harus bersatu-padu untuk membela rakyat jelata dan merampas tampuk kuasa.

Pembangkang juga harus menetapkan dasar-dasar perjuangan. Usah jadi seperti Pakatan Rakyat dahulu yang berpakat hanya kerana mereka mempunyai musuh yang sama dan akhirnya berpecah kerana perbezaan dasar yang begitu ketara.

Bagaimana menetapkan dasar perjuangan? Bukan tanya kepada kepemimpinan parti tertentu tetapi tanyalah majoriti rakyat apa yang mereka mahukan. Berdasarkan pemerhatian saya, orang Melayu di Semenanjung mahukan agama Islam, bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dan hak istimewa Melayu dibela dan dipertahankan.

Di Sabah dan Sarawak pula, isu Perjanjian Malaysia 1963 menjadi perdebatan hangat. Kerajaan sekarang pula kurang memberi penekanan kepada isu-isu tadi. Sekiranya, pembangkang bersatu dan memainkan peranan di kawasan masing-masing maka tidak keterlaluan saya katakan Pakatan Harapan akan tumbang pada PRU akan datang.

Setelah menetapkan dasar-dasar perjuangan, pembangkang perlulah membentuk Kabinet bayangan.

Sekiranya pembangkang hari ini ingin menjadi kerajaan maka mindset juga harus ditukar daripada pembangkang kepada government-in-waiting (kerajaan dalam penantian).

Langkahnya adalah dengan menubuhkan Kabinet bayangan yang mana setiap kementerian bayangan perlu mengkaji polisi sedia ada dan merangka polisi alternatif yang lebih baik dan menguntungkan rakyat.

Polisi alternatif jangan hanya didendangkan sebagai halwa telinga rakyat tetapi benar-benar boleh dilaksanakan apabila menjadi kerajaan nanti. Rakyat ingin tahu apa yang akan dilakukan oleh pembangkang jika jadi kerajaan.

Apakah bantuan yang akan diberikan? Apakah dasar ekonomi berbeza? Pembangkang perlu ada pendirian dan polisi alternatif mengenai isu pendidikan, ekonomi, dan kebajikan rakyat.

Jika wujud pembangkang yang bersatu, dasar sudah ditetapkan dan Kabinet bayangan sudah ditubuhkan maka mulakan gerakan.

RAKYAT MARHAEN

Pulau Pinang