Persidangan dengan enam sesi utama ini bakal menampilkan 20 panel daripada universiti tempatan, negara-negara ASEAN, Korea Selatan dan Australia. Persidangan dua hari ini akan berlangsung di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Pemanusiaan Pendidikan Tinggi’ (Humanising Higher Education), ia bakal mengetengahkan idea dan pemikiran para panel dalam pembentangan tajuk perbincangan masing-masing.

Persidangan ini turut menekankan bagaimana faktor dan sikap individu memberi kesan secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan sistem pendidikan.

Sasaran peserta persidangan ini adalah ahli Lembaga Pentadbiran Universiti (LPU), Naib Canselor atau Presiden, Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari dan Pegawai Kanan Universiti serta pegawai kanan KPT dan AKEPT.

Semakin maju revolusi industri, semakin ramai melupakan aspek dan elemen kemanusiaan terutamanya dalam bidang pendidikan.

Oleh itu, kita perlu memberi penekanan ‘memanusiakan’ semula dengan pengenalan etika-etika yang baik.

Contohnya, manusia banyak berinteraksi dengan mesin dan gajet, sudah tiada hubungan secara kemanusiaan secara lahiriah. Semakin maju sesebuah negara itu, ia tidak menjamin meningkatnya nilai kemanusiaan, dan nilai hormat-menghormati sesama insan semakin terhakis.

Oleh yang demikian, pelbagai pihak di pusat pengajian tinggi wajar memainkan peranan masing-masing agar nilai kemanusiaan menjadi jati diri yang wajar dipertahankan,” jelasnya.

Antara panel yang terlibat dalam persidangan kali ini ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr. Hasnita Hashim; bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd. Shukor dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohamad Kamal Harun.

Panel-panel dari negara luar pula ialah Prof. Jekuk Chang yang merupakan Presiden Universiti Dongseo, Korea; Perunding Kanan Asia Aware, Dr. James Campbell dan Presiden Yale-NUS College Singapore, Prof. Tan Tai Yong. Bekas Naib Canselor UM, Tan Sri Ghauth Jasmon akan turut membentang kertas kerja.

Antara topik yang akan dibentangkan ialah Peranan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Tinggi dalam Perubahan Persekitaran; Implikasi Revolusi Industri Pendidikan Tinggi dan Pemanusiaan Pendidikan Tinggi: Cabarannya.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tengku Datuk Dr. Mohd. Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim.

SITI SALWA MD. PADZIL
Ketua Bahagian Pentadbiran Pendaftar, Jabatan Pendaftar Universiti Malaya