Namun pandangan saya dalam isu ini agak berbeza. Bagi saya kemasukan pemain-pemain asing seharusnya menjadi cabaran buat mana-mana pemain bola sepak tempatan dalam satu-satu pasukan yang diwakili. Yang penting, mereka (pemain-pemain bola sepak tempatan) seharusnya mempelajari dan menghayati maksud untuk menjadi seorang profesional.

Kebanyakan pemain mungkin hanya memahami maksud profesional sebagai pemain yang bekerja dan dibayar gaji lumayan melebihi kelayakan dan kebolehan berbanding pemain amatur. Sebenarnya itu adalah satu tanggapan yang boleh dipertikaikan. Maksud profesional adalah lebih luas daripada itu.

Dengan kata lain kemunculan pemain import seharusnya menjadi satu bentuk saingan kepada pemain-pemain bola sepak tempatan kita supaya mereka akhirnya muncul sebagai pemain yang hebat.

Sekurang-kurangnya bermain dengan pemain import, pemain bola sepak tempatan kita mempunyai pengalaman untuk berhadapan dengan pemain-pemain serupa jika menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa. Ini juga salah satu bentuk pendedahan kepada mereka.

Selain itu, tidak dinafikan juga kejayaan seseorang ahli sukan itu bergantung kepada bakat semula jadi yang ada padanya. Ini ditambah dengan elemen disiplin yang tinggi, latihan yang konsisten dan pengalaman serta kekentalan jiwa yang dimiliki. Realitinya, bukan mudah untuk menjadi juara.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur