Pada 2017, seramai 29.9 juta pelancong luar telah mengunjungi Malaysia.Ini menunjukkan sektor pelancongan mencatatkan perkembangan positif. Namun, peningkatan pelancong turut memberi kesan negatif kepada kawasan-kawasan pelancongan di negara ini.

Misalnya, peningkatan pelancong ke Georgetown, Pulau Pinang yang telah diiktiraf sebagai Tapak Wari­san Dunia Pertubuhan Pen­didikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) membawa banyak masalah seperti vandalisme terhadap kemudahan awam selain kesesakan lalu lintas.

Sudah tentu, ia tidak melibatkan tapak warisan di Malaysia sahaja kerana menurut UNESCO, terdapat 54 tapak warisan di seluruh dunia yang kini berada dalam senarai zon bahaya.

Apabila keadaan itu berlaku, orang ramai mula menuding jari kepada pihak berkuasa kerana mereka bertanggungjawab menangani isu tersebut.

Bagaimanapun, secara logiknya, memang sukar pihak berkuasa di sesuatu kawasan pelancongan untuk mengawasi setiap tingkah laku pelancong.

Jelas sekali, hanya mengharapkan pihak berkuasa menangani isu itu adalah tidak wajar.

Orang ramai perlu berganding bahu dalam memelihara kawasan pelancongan terutamanya tapak warisan sedia ada kerana ia aset berharga bagi generasi masa hadapan.

Komuniti tempatan, terutama yang tinggal di dalam ataupun berhampiran dengan tapak warisan haruslah melibatkan diri dalam aktiviti memelihara kawasan tersebut.

Dengan kerjasama pihak berkepentingan, komuniti setempat bolehlah bersama-sama menjaga dan memantau kawasan tersebut. Berdasarkan konsep kelestarian bandar warisan, komuniti setempat adalah salah satu elemen penting.

Pembukaan terlalu banyak perniagaan di kawasan tapak warisan juga boleh menimbulkan masalah.

Banyak kedai makanan dan cenderamata telah dibuka di kawasan yang berdekatan dengan lokasi-lokasi menarik di tapak warisan.

Contohnya, terdapat banyak kedai baharu yang telah diusahakan berdekatan Lebuh Armenian dan Lebuh Canon, Pulau Pinang.

Ini kerana kawasan itu memiliki warisan menarik untuk dilawati seperti Khoo Kongsi dan Masjid Acheh.

Selain itu, pelancong juga berpeluang merakam gambar lukisan dinding atau mural oleh pelukis berasal dari Lithuania, Ernest Zacharevic.

Ini jelas menunjukkan bahawa, tapak warisan turut menyumbang kepada pendapatan masyarakat tempatan di kawasan tersebut.

Kawasan pelancongan yang diiktirafkan dengan status Tapak Wari­san Dunia UNESCO sememangnya menjanjikan pengalaman baharu bukan sahaja dari segi seni bina dan sejarah, malah kebudayaan tempatan yang tidak mungkin diperoleh di tempat lain.

Ia bukan sahaja membawa nilai sejarah tetapi turut menjana pendapatan kepada masyarakat dan negara.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memastikan tapak warisan dijaga untuk generasi seterusnya.

Kita sepatutnya mengambil langkah proaktif dalm melindungi tapak warisan dunia sedia ada kerana bukan mudah untuk sesuatu kawasan dianugerahkan status tapak warisan oleh UNESCO.



DR. TAN POH LING
Universiti Taylor