Ekoran pendedahan itu, kerajaan negeri telah mengheret pihak berkenaan ke mahkamah di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan yang mengenakan hukuman denda maksimum RM50,000.

Nampaknya, kerajaan negeri bersikap tidak serius apabila menggunakan akta yang mengenakan hukuman ringan sedangkan pihak terbabit boleh didakwa di bawah tiga hingga lima undang-undang lain yang hukumannya lebih berat.

Kes pihak yang merosakkan alam sekitar dikenakan hukuman ringan bukanlah kali pertama berlaku, kerana banyak kes lain yang didedahkan pelbagai pihak sebelum ini. Apa yang berlaku itu berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan oleh agensi dan jabatan di bawah kerajaan negeri yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar.

Pembangunan lestari bergantung kepada tiga aspek iaitu penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai dalam proses membuat keputusan, kemajuan ekonomi serta pemuliharaan alam sekitar. Setakat ini, kerajaan negeri hanya berjaya dalam aspek kemajuan ekonomi terutamanya dalam pembinaan hotel dan kondominium mewah, tetapi telah gagal dalam dua aspek lain.

Kegagalan kerajaan Pulau Pinang mengambil kira pendapat NGO dan orang ramai dapat dilihat ketika kerajaan negeri menggubal Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Walaupun dikritik pelbagai pihak kerana pelan itu terdapat pelbagai kelemahan, kerajaan negeri masih berdegil untuk meneruskan projek berkenaan.

Kenapakah pendapat pihak berkepentingan tidak diambil kira dalam menggubal pelan baharu itu? Sepatutnya PTMP ditangguhkan sehingga pihak berkepentingan dan orang awam berpuas hati. Jika ini tidak diendahkan, bermakna hasrat kerajaan negeri mewujudkan pembangunan lestari hanyalah satu janji kosong.

Mengenai pemuliharaan alam sekitar pula, kerajaan Pulau Pinang telah gagal dalam aspek ini apabila berlaku kejadian tanah runtuh yang berpunca dari pembangunan lereng bukit di Tanjung Bungah dan Bukit Kukus.

Malangnya, kerajaan Pulau Pinang mengambil mudah tragedi tersebut dan tidak serius dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang. Cukup malang, NGO dan individu yang mengkritik dilabelkan sebagai ‘pembangkang’ dan mempunyai agenda peribadi untuk menggulingkan kerajaan negeri.

NICOLE WONG SIAW TING

Ketua Pemuda MCA