Namun, saya perasan satu trend peniaga berbangsa Melayu banyak berkait dengan produk dan aksesori kecantikan sama ada pada paparan peribadi mahupun dalam kumpulan perniagaan.

Khidmat dandanan, jualan alat solek, jamu, ubat kurus, tudung, baju, kasut dan lain-lain aksesori kecantikan mewarnai paparan Facebook saya setiap hari.

Ada juga yang berniaga produk berkaitan aksesori kenderaan atau kedai makanan tetapi selebihnya berkaitan dandanan dan kecantikan sahaja.

Memang benar perniagaan dalam industri kecantikan paling mudah berjaya dengan beberapa jutawan ternama hidup mewah selepas beberapa tahun mempromosikan jenama produk atau perkhidmatan kecantikan mereka sendiri.

Memang bagus jika semakin ramai mencapai status jutawan hasil perniagaan industri kecantikan tetapi pada masa sama perlu ada kepelbagaian dalam perniagaan dalam talian.

Kadangkala timbul rasa sedih bila bangsa lain bertanya kenapa orang Melayu ‘gila’ menjual dan membeli produk kecantikan seolah-olah tiada industri lain yang diungguli anak Melayu.

Ini cuma berkaitan perniagaan dalam talian, saya percaya ramai lagi anak Melayu berjaya dalam industri atau sektor perniagaan lain tetapi perkara ini juga berkait rapat dengan persepsi.

Saya bukan meminta peniaga industri kecantikan mengurangkan aktiviti promosi dan iklan mereka sebaliknya menggalakkan peniaga dalam sektor perniagaan lain lebih agresif menawarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Tonjolkan orang Melayu bukan sahaja pandai berniaga produk kecantikan malah apa jua sektor perniagaan boleh kita tembusi.

Saya harap pihak berwajib juga terus memberi sokongan khususnya dari segi latihan dan jaringan perniagaan.

MEERA KISHA

Bandar Utama, Selangor