Memang benar, semua orang ada keinginan untuk berkahwin kerana perkahwinan adalah medium bagi menghalalkan suatu perhubungan namun ia adalah satu tanggungjawab yang sangat besar.

Umur 14 tahun adalah satu usia yang terlalu naif untuk menggalas sebarang gelaran atau tanggungjawab berat, apatah lagi menjadi seorang ibu dan isteri.

Saya memetik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bahawa rahim seorang kanak-kanak perempuan pada usia 14 tahun belum bersedia untuk mengandung dan berisiko tinggi menyumbang kepada statistik keguguran dan kematian bayi.

Menurut satu laporan statistik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2016, Sabah mencatatkan kes kehamilan remaja paling ramai iaitu sebanyak 3,084 kes.

Daripada menurunkan had umur perkahwinan, Kementerian Pendidikan seharusnya mengambil inisiatif dalam menerapkan pendidikan seks lebih awal dalam silibus pendidikan di Malaysia untuk membendung gejala sosial seperti seks bebas, penyakit kelamin, anak luar nikah dan pembuangan bayi.

Persoalan di sini, jika penurunan had umur ini dilaksanakan, bagaimana dengan urusan persekolahan pasangan yang baru sahaja mula mengenali erti kehidupan sebenar?

Bagaimana pula dengan nafkah isteri? Adakah perlu ditanggung oleh ibu bapa pasangan masing-masing? Justeru itu, solusi untuk menurunkan had umur perkahwinan ini bukanlah yang terbaik untuk dilaksanakan.

Mempercepatkan perkara baik itu amat dituntut dalam Islam tetapi adakah menurunkan had umur untuk berkahwin pada umur 14 dan 16 tahun itu relevan bagi membendung masalah sosial dalam kalangan remaja kini?

NURUL AMIRA REMLI

Shah Alam