Pelbagai pihak mendesak agar kerajaan berhenti mengimport pekerja asing. Tetapi bersediakah kita untuk menghadapi kesan akibat tindakan ini? Negara jiran kita, Singapura mula mengalami pertumbuhan ekonomi perlahan pada tahun ini akibat langkah berkenaan. Majikan pula sering mengeluh apabila pihak berkuasa menjalankan Ops PATI kerana sudah terbiasa menggaji pekerja asing dan PATI.

Langkah pertama untuk memastikan hasrat mengurangkan pekerja asing menjadi kenyataan ialah dengan mengubah sikap rakyat Malaysia terutama generasi muda agar tidak memilih pekerjaan. Saya sendiri pernah bekerja di sektor dimonopoli warga asing bertahun lamanya meskipun berkelulusan daripada salah sebuah universiti tempatan. Tidak ada apa yang hendak dimalukan asalkan pekerjaan itu mendatangkan rezeki yang halal dan tidak menyalahi undang-undang. Cadangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) agar nama dan bidang pekerjaan dijenamakan semula bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap status sosial pekerjaan wajar diberi pertimbangan serius. Contohnya pekerjaan buruh kontrak dinamakan kepada pembantu binaan yang lebih sedap didengar. Saya percaya ibu bapa lebih memilih menjodohkan anak perempuan mereka kepada seorang pembantu binaan berbanding buruh kontrak. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh digunakan untuk membentuk semula cara berfikir pelatih agar bersikap positif terhadap kerjaya. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pula disaran agar hanya memanggil calon-calon yang memiliki pengalaman kerja sahaja untuk temuduga jawatan di sektor awam agar tidak timbul lagi masalah rakyat menganggur terutamanya para lepasan universiti. Kurang adil rasanya jika graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian diterima masuk dalam sektor awam sedangkan ramai graduan lain bekerja sambilan sementara menunggu kerja tetap.

Langkah seterusnya ialah dengan membina lebih banyak Akademi Binaan Malaysia (ABM), Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) agar tenaga mahir tempatan mampu mengambil alih peranan warga asing yang begitu dominan dalam sektor pembinaan, perladangan dan perindustrian. Industri pembinaan negara misalnya berkembang begitu pesat dengan pelbagai projek bertaraf mega sedang dan akan dilaksanakan tetapi malangnya dikuasai pekerja asing. Dicadangkan agar kerajaan membina ABM di setiap negeri agar dapat menyediakan bekalan tenaga mahir tempatan dalam sektor ini. Selain itu, sektor perkilangan negara masih bergantung kepada penggunaan tenaga manusia dalam bilangan yang ramai. Sektor perladangan kelapa sawit yang menyumbang jumlah eksport yang cukup besar turut terkecuali. Pergantungan berterusan kepada pekerja asing dikhuatiri boleh menjejaskan projek pembangunan dan eksport negara jika pekerja asing di ketiga-tiga sektor ini tiba-tiba mogok.Oleh itu, kita mestilah bersedia dengan langkah jangka panjang dengan melatih tenaga tempatan.

Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2015 baru-baru ini telah memberi penekanan terhadap TEVT agar sasaran untuk melahirkan 50 peratus tenaga mahir tempatan dalam pelbagai bidang tercapai. Tanggapan negatif ibu bapa dan masyarakat bahawa pendidikan vokasional hanya untuk pelajar yang lemah dalam pelajaran perlu diperbetulkan agar aliran ini popular dan memiliki prestij tersendiri. Sepatutnya pelajar sekolah menengah yang diberi peluang untuk memilih bidang yang mereka yang lebih minati sama ada teknikal atau akademik tanpa campur tangan ibu bapa. Adakalanya lulusan TEVT lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding graduan universiti. Saya pernah terbaca dalam akhbar bahawa lulusan Akademi Binaan Malaysia mampu meraih pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bergantung kepada jenis sijil yang dimiliki.

Kerajaan juga diharap dapat memberi perhatian kepada golongan yang sering dipinggirkan dalam dunia pekerjaan iaitu gelandangan, orang kelainan upaya (OKU), bekas banduan serta bekas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). Bekas banduan dan pelatih PUSPEN yang gagal mendapat pekerjaan cenderung untuk terjebak semula kepada aktiviti lampau. Golongan gelandangan sepatutnya diberi peluang untuk mengisi sektor pekerjaan peringkat rendah di ibu kota contohnya sebagai pekerja kontraktor pembersihan. Memberi mereka makan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah golongan ini.

Akhir sekali kerajaan dimohon supaya mewujudkan kembali dasar 70 juta penduduk agar negara kita mempunyai sumber tenaga yang cukup di masa hadapan. Mantan Perdana Menteri Malaysia , Tun Dr. Mahathir yang mengilhamkan dasar ini ternyata seorang pemimpin yang berpandangan jauh. Harap kerajaan tidak mensia-siakannya.

M.Faisal

KUALA LUMPUR