BERDASARKAN perangkaan pada 2014, Malaysia mempunyai tenaga kerja sebanyak 13.5 juta orang dan 50 peratus daripadanya tertumpu di sektor pertanian, pembuatan, pembinaan dan perlombongan.

Aktiviti di sektor berkenaan mendedahkan pekerja kepada situasi bahaya seperti bunyi bising yang boleh menyebabkan pekak, penggunaan bahan kimia yang menjejaskan kesihatan dan masalah otot kerana mengangkat barangan berat atau berdiri terlalu lama.

Peningkatan kes pekerja mendapat penyakit yang berpunca daripada situasi bahaya di tempat kerja yang dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) membuktikan masalah itu adalah serius.

Tahun 2014, JKKP merekodkan 3,002 kes yang berpunca daripada masalah berkenaan berbanding 2,633 kes pada 2013 dan 2,109 kes pada 2012.

Oleh itu, semua pekerja hendaklah sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor kesihatan pekerjaan (DKP) yang mempunyai kepakaran untuk menilai masalah yang dihadapi mereka.

Pekerja yang hendak membuat tuntutan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi kes penyakit yang berpunca daripada pekerjaan juga perlu mendapatkan laporan perubatan daripada DKP.

Semakan perlu dibuat kerana bukan semua doktor yang mempunyai kelayakan DKP yang diselia oleh JKKP. Seorang DKP tidak boleh terikat dengan aktiviti rawatan harian pesakit di klinik.

Dalam pada itu, antara kes yang perlu segera dirujuk kepada DKP adalah masalah kesakitan dan kadang-kadang kebas di bahagian tengkuk, belakang dan pergelangan tangan.

Masalah ini berpunca daripada penggunaan komputer dan papan kekunci dalam tempoh yang lama dan duduk serta berdiri bukan mengikut posisi yang betul.

DR. SYED BADARUDDIN

SYED ALI

Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Pahang