Pertama, jumlah pelaku seksual dan fizikal yang semakin meningkat saban hari dalam masyarakat kita. Kedua, pengasuh yang gagal menyediakan persekitaran penjagaan dan pemeliharaan yang selamat.

Setiap hari ramai individu dalam komuniti kita yang menghadapi pelbagai masalah, cabaran, gangguan serta episod sedih kehidupan yang sangat perit dan pedih.

Namun, mereka ini perlu mempunyai kemahiran untuk mengurus diri dan masalah secara cekap dan berkesan. Kegagalan dalam aspek ini membawa individu kepada tingkah laku agresif.

Meluahkan rasa marah, dendam atau tuntutan hawa nafsu kepada orang lain terutama kanak-kanak adalah salah dan memualkan. Pelaku seksual atau pendera fizikal seperti ini sedang mengalami kecelaruan nilai diri, gangguan emosi dan serak berai pemikiran yang serius.

Mereka seharusnya berjumpa dengan seseorang yang mereka percayai atau pakar psikososial seperti kaunselor yang boleh membantu, bukannya menggunakan jalan mudah dengan mengambil dadah seperti methamphetamine dan lain-lain jenis bahan larangan untuk selesaikan masalah yang dihadapi setiap hari.

Pelaku sebegini telah belajar tingkah laku agresif secara diam hingga sukar untuk dikesan dan dijangka oleh orang lain. Hanya mereka di sekitar golongan ini yang boleh mengesan dan segera mencari bantuan.

Seperkara lagi, bagi mana-mana pengasuh yang menyediakan perkhidmatan jagaan, pemeliharaan dan pengasuhan kanak-kanak wajib memastikan premis dan persekitarannya adalah selamat.

Pengasuh juga perlu ambil maklum sekiranya ada individu yang boleh membahayakan anak asuhan sekitar kawasan penjagaan, contohnya suami atau anak dewasa, penagih dadah atau mereka mengambil bahan terlarang, apatah lagi di dalam premis sama.

Maka, pengasuh itu wajib menamatkan perkhidmatan atau menolak permohonan pekerjaan penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak. Ini penting untuk menjamin keselamatan kanak-kanak yang diserahkan ibu bapa sentiasa terpelihara.

Jangan terlalu mengejar wang ringgit hasil asuhan kanak-kanak tetapi aspek keselamatan kita abaikan. Ini sangat berbahaya dan merugikan semua pihak.

Justeru, pendidikan dan kesedaran berkaitan aspek keselamatan dalam penjagaan, pengasuhan dan pemeliharaan kanak-kanak wajib diberikan perhatian utama.


PROFESOR DATUK
 DR. MOHAMED FADZIL CHE DIN

Pakar Psikologi Kaunseling UPNM