Antaranya penangguhan Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang menjadi keresahan dalam kalangan warga pendidik.

Terbaharu, membekukan sementara kenaikan pangkat pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Kita tidak hendak mempertikaikan keputusan tersebut, pasti ada sebab tindakan diambil oleh Menteri Pendidikan.

Namun, seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian serius oleh Menteri Pendidikan ialah kekurangan guru di sekolah terutama sekali di kawasan pedalaman yang sudah berlarutan sehingga ke pertengahan 2018.

Saban tahun isu yang sama berlaku seolah-olah tiada titik noktahnya sedangkan anggaran belanja mengurus (ABM) dilakukan setiap tahun. Di mana silapnya? Adakah sememangnya guru tidak cukup atau pengurusan guru yang sambil lewa?

Apabila diajukan kepada pihak yang mengurus hal berkaitan guru, selalunya jawapan yang diterima ialah bekalan guru tidak cukup. Anehnya, mengapa banyak Institut Pendidikan Guru (IPG) ditutup atau ditukar peranannya? Kembalikan peranan IPG untuk membekal dan melatih bakal-bakal guru secukupnya.

Kita sedia maklum murid-murid di sekolah pedalaman amat dahagakan pendidikan. Jurang pendidikan mereka amat jauh jika hendak dibandingkan dengan murid di kawasan lain.

Mereka memerlukan guru-guru yang terlatih mengikut opsyen untuk membantu meningkatkan pendidikan mereka. Masalah buta huruf (Linus) masih tinggi. Masalah numerasi juga masih tinggi.

Kasihan guru-guru yang terpaksa menampung kekurangan guru dengan tambahan waktu mengajar. Ada juga guru mengajar mata pelajaran bukan opsyen tetapi terpaksa setelah diarahkan oleh guru besar.

Lebih parah lagi apabila ada guru yang terlibat dengan kursus atau mesyuarat di luar. Guru yang tinggal di sekolah terpaksa menggantikan guru berkursus pula.

Ada pula dalam kalangan guru yang sudah berbelas tahun di sekolah pedalaman. Semangat mereka sudah lesu tetapi tidak digerakkan ke sekolah lain untuk mendapat angin baharu.

Apabila dimaklumkan kepada pengurusan sekolah, alasannya tiada guru yang ingin masuk menggantikan mereka. Maka, prestasi sekolah berada di takuk lama. Dalam sesi dialog prestasi, guru-guru jadi mangsa tohmahan para pegawai yang hebat memberi komen. Maka keluarlah ayat-ayat ‘power’ tanpa tapisan.

Guru-guru yang celik muzik juga tiada di sekolah pedalaman. Guru mata pelajaran muzik hanyalah tangkap muat sahaja. Kesudahannya, berlakulah pelajaran muzik senyap sunyi.

Pendidikan muzik sangat penting di sekolah pedalaman murid Orang Asli bagi menggalakkan mereka hadir ke sekolah. Murid-murid Orang Asli sangat minat menyanyi dan muzik. Saya minta Menteri Pendidikan dapat berikan perhatian serius tentang perkara ini.

Saya cadangkan kecilkan bilangan pegawai di PPD atau JPN. Contohnya, kaji semula peranan pegawai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang terlalu ramai di PPD sedangkan peranan dan fungsinya tidak seberapa.

Lebih baik tempatkan mereka ke sekolah pedalaman agar kepakaran mereka digunakan secara terus di bilik darjah. Kita percaya banyak masalah terutama Linus dapat diatasi kerana mereka pegawai yang hebat. Secara tidak langsung masalah kekurangan guru dapat diatasi.

 

MINAH LETER

Pahang Darul Makmur