Paling menakutkan adalah kes rabies yang sudah meragut nyawa empat kanak-kanak di Sarawak sementara seorang lelaki berusia 52 tahun baru disahkan positif virus tersebut selepas digigit anjing awal Mei lalu.

Susulan gejala seperti lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang dan kebingungan pada 11 Julai lalu mendorong lelaki tersebut mendapatkan rawatan sebelum disahkan positif virus rabies.

Bukan sahaja di Sarawak, Perak juga melaporkan dua kanak-kanak disyaki telah dijangkiti rabies dan kini dalam pemantauan disebabkan virus terbuat mengambil masa beberapa bulan untuk menimbulkan gejala serius yang boleh membawa maut.

Walaupun bilangan kes ini kecil, orang ramai mudah panik dan takut memandangkan kebarangkalian untuk hidup kurang 10 peratus selepas gejala jangkitan muncul, ditambah pula haiwan liar penyebar rabies banyak berkeliaran.

Virus ini disebarkan haiwan ‘berdarah panas’ khususnya mamalia malah ada kes melibatkan jangkitan bawaan haiwan ‘berdarah sejuk’ seperti reptilia.

Di kawasan pedalaman dan luar bandar mungkin risiko jangkitan tinggi daripada gigitan haiwan liar khususnya kelawar tetapi penularan rabies di kawasan bandar dan pekan banyak melibatkan haiwan peliharaan mahupun anjing dan kucing liar.

Persoalannya, kenapa selepas 60 tahun negara merdeka, masalah haiwan liar khususnya anjing di kawasan bandar masih gagal ditangani pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Rasanya sudah berbuih mulut orang ramai mengadu mengenai anjing liar di semua kawasan perumahan dan premis perniagaan tetapi PBT yang bertanggungjawab masih ‘buat pekak’ sehinggalah berlakunya kes serius seperti orang terbunuh atau penyakit berjangkit disebabkan haiwan liar.

Lihat sahaja stesen-stesen MRT yang baru dibuka, penuh dengan anjing liar yang mungkin ditinggalkan pekerja asing yang membelanya selepas mereka berpindah ke lokasi projek lain atau pulang ke negara asal.

Adakah pihak PBT mengharapkan pengurusan stesen MRT menangkap anjing-anjing liar ini?

Jika berlaku penularan rabies di bandar-bandar utama, perkara pertama akan berlaku dalam kalangan pihak berwajib adalah menuding jari antara satu sama lain tetapi jika dari awal masalah haiwan penyebar virus itu diselesaikan rakyat negara ini tidak perlu bimbang digigit dan dijangkiti rabies.

Di Selangor dan Kuala Lumpur contohnya dicanangkan ada peraturan mewajibkan mendaftar membela anjing tetapi rata-rata rumah yang ada haiwan tersebut tiada lesen untuk memelihara.

Ini menyebabkan tiada pemantauan terhadap kesesuaian spesies anjing dibela malah kesihatan haiwan tersebut diabaikan dan lebih malang boleh dibuang tuannya pada bila-bila masa, di mana sahaja.

Menjadi tugas PBT untuk menguatkuasakan lesen membela anjing malah tanggungjawab mereka juga memastikan anjing liar ditangkap sekurang-kurangnya untuk dimandulkan selain memeriksa tahap kesihatan haiwan tersebut.

Rekod lesen pemilik juga akan memudahkan PBT dan Jabatan Veterinar memantau mereka yang membela anjing khususnya mengelakkan mereka membuang haiwan tersebut sesuka hati, mendera atau tidak menjaga kesihatannya secara berkala.

MOHD. KHALID

Gombak, Selangor