Ku Li berpendapat tiada keperluannya UMNO mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pas juga nampaknya tidak berminat, dan diharapkan Pas mengikut jejak UMNO bagi membuktikan samangat kerjasama.

PRK PD bolehlah dianggap pilihan raya ‘main-main’ bagi memenuhi impian seseorang. Empat tahun lalu Anwar telah melakukannya di Kajang, yang disebut ‘Langkah Kajang’. Biarkanlah Anwar menang mudah di PD. Bagi seorang pejuang, kemenangan mudah itu amat tidak mengembirakan.

Sekarang ini bukan lagi masa untuk UMNO dan Pas melayan kerenah kerajaan Pakatan Harapan (PH). UMNO dan Pas perlu bersama-sama merangka strategi apakah langkah bagi merampas kembali Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15. Ingat, sekarang ini Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah mula merangka strategi bagaimana mahu melebarkan pengaruhnya. Beliau sudah mula ‘menghidu’ segala ‘bau’ yang boleh ‘mencemar’ keselesaannya.

Walaupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) cuma dua hari sahaja, diharapkan agendanya lebih jitu. Janganlah sekadar suka-suka atau ‘syok sendiri’.

Atau sekadar untuk menilai siapa yang petah bercakap dan pandai berpantun dan berseloka.

Suka saya berikan cadangan, bagaimana PAU akan datang tidak lagi diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Maksud saya PAU diadakan di luar Kuala Lumpur. Sebabnya, Kuala Lumpur bukan lagi ‘medan’ UMNO.

UMNO perlu mengalih perjuangannya di luar kota. UMNO bukan lagi parti orang kaya-raya dan senang-lenang. UMNO adalah parti warga Felda dan rakyat luar bandar yang masih mengharapkan pembelaan.

Apakah ‘hina’ sekiranya UMNO mengadakan PAU di Stadium Tun Abdul Razak di Bandar Pusat Jengka atau di Stadium Mini Temerloh, Pahang?

Apakah ‘lekeh’ sekiranya UMNO mengadakan PAU di Dewan Arena Chenor atau Maran? Atau di mana Dewan orang ramai di seluruh negara? Langkah ini membolehkan ibu bapa, datuk nenek dan seluruh warga desa sama-sama datang menyaksikan kehebatan pemimpin mereka berucap.

Kesimpulannya, UMNO perlu melakukan kejutan dan ‘keajaiban’ agar rakyat teruja untuk mendekati UMNO. Inilah yang dilakukan oleh kerajaan PH. Bermacam ‘langkah’ yang telah mereka buat. Barisan Nasional (BN)/UMNO tiada sebarang langkah, cuma ‘melompat-lompat’.

NAZRI SHAM
Chenor, Pahang.