Kepada para pengundi, patuhilah nasihat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah baru-baru ini supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan mesej tular dalam media sosial berkaitan proses pilihan raya yang bertujuan mengelirukan mereka.

Bagi 20 peratus pengundi baharu, mereka perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan SPR ketika memangkah kertas undi. Kaedah betul adalah menulis tanda X dalam salah satu petak yang terdapat nama calon pilihan mereka.

Walaupun tanda lain masih boleh diterima, namun semuanya bergantung kepada pertimbangan ketua tempat mengundi yang akan memutuskan sama ada penandaan itu dalam kategori undi diterima, ragu atau ditolak.

Selain itu, pengundi perlu membawa kad pengenalan bagi memudahkan urusan pengundian. Waktu mengundi adalah dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang.

Pakai pakaian sopan serta tidak melambangkan mana-mana parti politik bagi mengelak berlaku kekacauan semasa hari pengundian.

Elakkan daripada undi rosak. Undi rosak dikira jika kertas undi tersebut disalah tanda, tidak memangkah pada ruang yang sepatutnya, memangkah lebih daripada satu calon atau semua parti yang bertanding.

Sebaik-baiknya, pangkah X dengan menggunakan kad pengenalan diri sebagai ganti pembaris bagi menghasilkan garisan tegak dan cantik. Sekiranya sebelum mengundi terdapat titik hitam atau kecacatan pada kertas undi, angkat tangan dan minta kertas baharu. Pastikan kertas undi yang diterima itu bersih dan tiada sebarang tanda.

 

DARIN HUSNIAH MAT ZAINAL

Negeri Sembilan