Pihak berkuasa telah mengesan virus HFMD pada kemudahan dan permukaan tertentu di tempat awam khususnya di pasar raya dan tempat tumpuan orang ramai. Ini dipercayai menjadi cara virus tersebut merebak dengan pantas.

Namun, HFMD dipandang ‘enteng’ sesetengah pihak khususnya majikan dan bos Jabatan Sumber Manusia memandangkan penyakit ini jarang membawa maut dan rata-ratanya lebih banyak menjangkiti kanak-kanak.

Saya perhatikan banyak majikan mengambil mudah arahan kuarantin kakitangan yang anak mereka disahkan dijangkiti virus HFMD malah menunjukkan tiada langsung langkah pencegahan penyakit berjangkit di tempat kerja.

Kita bernasib baik kerana HFMD tidak begitu berbahaya berbanding penyakit seperti Influenza H5N1 dan Japanese Encephalitis (JE) yang menjadi wabak di negara ini tidak lama dahulu.

Jika tidak, hampir pasti ramai akan ‘terkorban’ melihatkan tindak balas ‘acuh tak acuh’ majikan berdepan wabak HFMD. Malah wabak denggi juga diberi layanan serupa sedangkan begitu ramai dijangkiti malah maut akibat denggi berdarah.

Dalam mengejar keuntungan, saya harap pihak majikan mengambil maklum tujuan kuarantin adalah untuk mengelakkan penularan sesuatu wabak menjadi semakin parah.

Sekiranya virus HFMD, denggi, H5N1, JE dan bermacam lagi merebak antara kakitangan, akhirnya operasi syarikat juga akan terjejas apabila terlalu ramai pekerja jatuh sakit atau perlu dikuarantin.

Oleh itu, jangan terlalu berkira sekiranya ada pekerja yang perlu cuti sakit atau dikuarantin kerana paling utama adalah mengelak penyakit berjangkit menular di tempat kerja seterusnya kepada ahli keluarga.

SAINTIS MUDA

Kuala Lumpur