Masa depan negara bergantung kepada sejauhmana nilai-nilai personal yang positif dapat ditanam ke dalam jiwa dan minda generasi mahasiswa hari ini. Sempena Hari Kebangsaan ke 61 yang bakal disambut 31 Ogos ini, sudah pasti sambutan kemerdekaan akan diraikan dengan pelbagai tafsiran.

Tafsiran kemerdekaan negara yang masih diperangkap dalam soal kaum dan politik telah mewujudkan hambatan terhadap usaha menanam semangat patriotisme generasi mahasiswa muslim untuk memaksi Islam sebagai asas patriotisme. Lantaran itu, hakikat telah berlaku perubahan sosiopolitik hari ini sedikit sebanyak perlu menuntut perubahan perspektif worldview generasi muda muslim terhadap pengertian patriotisme itu sendiri.

Patriotisme diertikan sebagai satu institusi dalaman diri individu yang dibina dengan fahaman dan semangat kecintaan pada negara. Patriotisme juga merupakan satu bentuk blok minda dan kepercayaan seseorang individu akan rasa kebanggaan kepada kewujudan negara yang menaungi warga bagi sesuatu bangsa. Semua warga dalam sesuatu negara di seluruh dunia mempunyai semangat patriotisme dan nasionalisme tersendiri. Tafsiran ini melahirkan blok komuniti dunia yang menunjangi pelbagai ideologi politik. Maka hampir kebanyakan tafsiran patriotisme yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh pemikir, tokoh falsafah dan tokoh politik menjurus kepada semangat cintakan tanah air dengan komited terhadap usaha pembinaan negara bangsa. Dalam konteks Malaysia tidak dinafikan semangat patriotisme yang dijana bermula zaman penjajahan dahulu sehingga selepas kemerdekaan telah mengevolusi landskap sosiopolitik negara. Banyak fahaman isme yang baharu dipraktis untuk diadaptasi supaya sejajar dengan solidariti masyarakat sosial yang majmuk di Malaysia.

Survival agama dalam arus perubahan politik Malaysia seakan hanya menjadi alat pengiring kepada pembinaan bangsa dan bukan satu asas utama yang perlu mendasari kepada perencanaan polisi negara.

Pada hari ini, tahap kecenderungan generasi baharu muslim yang semakin ketara membawa Islam dengan mengubahsuai intipati ajaran mengikut kondisi sosiopolitik kerana kefahaman patriotisme agama mereka terpaksa dilentur mengikut kehendak kesejagatan para nasionalis politik.

Terkesan dengan penumpuan yang lebih terhadap rencam politik menjadikan generasi muda muslim hari ini seakan kurang menghiraukan survival agama berbanding survival politik (negara). Perkembangan ini sangat berbahaya kerana pemikiran generasi muda muslim tidak memahami pengertian tajdid berterusan yang dianjurkan dalam Islam untuk mengurus sebuah negara.

Golongan muda hanya membiarkan politik semasa mengambil tempat untuk menyusun atur masyarakat tanpa mengetengahkan peranan agama.

Kita juga melihat bahawa pola pemikiran generasi muda muslim dewasa kini cenderung kepada budaya mengasimiliasi ajaran mengikut perubahan zaman dunia serta keperluan sosiodemografi masyarakat negara.

Patriotisme dalam kalangan generasi muslim juga perlu keluar daripada kepompong ideologi politik yang merantai idealisme pemikiran.

Tidak dinafikan politik telah merangsang kelahiran nasionalisme yang sentiasa membawa wadah perjuangan hak manusia.

Impaknya, sistem agama itu dipaksa untuk menerima liberalisasi supaya disesuaikan dengan kefahaman logik akal masyarakat.

Ini menimbulkan polemik dan mengakibatkan banyak fahaman kecil dan khilaf dalam kalangan pemikir Islam. Apatah lagi perubahan geopolitik negara yang sudah memasuki era keterbukaan telah mengecilkan platform agama itu sendiri.

Mempertahankan negara penting kerana secara tidak langsung perencanaan pelaksanaan syiar agama dapat didirikan dengan teguh.

Islam sejak zaman Rasulullah SAW menganjurkan konsep bernegara yang syumul dengan penyatuan masyarakat berkabilah akibat fahaman asabiyyah yang tebal.

Rasulullah SAW menekankan soal kewajipan mempertahankan agama dan negara tanpa melakukan sebarang kezaliman kepada masyarakat lain.

Dalam satu riwayat hadis Rasulullah SAW pernah bersabda ketika ditanya oleh seorang sahabat baginda, “adakah yang terlalu mencintai bangsanya itu dikatakan sebagai asabiyyah?. Lalu baginda menjawab, “tidak, asabiyyah itu adalah mereka yang menolong bangsanya berlaku zalim”.

Dalam hal ini, Islam tidak menolak semangat patriotisme.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, semangat mencintai tanah air sudah wujud dalam Islam. Malah Nabi Muhammad SAW telah meniupkan semangat patriotisme agama dalam kalangan sahabat baginda dengan keimanan yang teguh.

Nabi SAW terpaksa berperang dengan kaum kafir Quraisy kerana kaum kafir ketika itu menentang agama Allah. Semangat kecintaan kepada agama Allah telah berjaya membina sebuah tamadun Islam dengan kewujudan kerajaan Islam yang kuat. Kelahiran pemimpin-pemimpin Islam yang berpegang teguh kepada keimanan berjaya menyebar luas dakwah Islamiyah sehingga merintis hubungan politik antara kerajaan Islam dengan kerajaan di benua Eropah. Ini membuktikan bahawa pemerkasaan patriotisme agama yang sejati perlu benar-benar terbit daripada fikrah iman yang tulen. Ia juga turut membuktikan bahawa Islam bukan agama yang defensif tetapi semangat patriotisme yang mempertahan survival Islam dan dakwah Islamiyah kelak melahirkan ramai ulama yang konsisten untuk menyebar luas Islam ke serata dunia. Ini perlu disuburkan semula dalam kalangan golongan generasi muda Islam hari ini agar urus tadbir siasah politik Malaysia ini dapat diperkukuhkan.

Negara Malaysia sudah mencapai usia merdeka selama 61 tahun. Cara baharu geopolitik negara hari ini sedang membina platform baharu kepada hak kebebasan sebagai peneraju paling dominan untuk mengolah acuan perubahan.

Ledakan sains teknologi diiringi dengan super innovation dalam penciptaan teknologi maklumat mengangkat keupayaan masyarakat menjadi superhuman yang turut mampu ‘mengubah’ kehendak Tuhan dalam agama.

Oleh sebab itu maka perlunya patriotisme agama itu ditanam dalam generasi muda hari ini bagi meneutralkan patriotisme politik yang semakin kerap membuka ruang enigma pemikiran masyarakat.

Segala perubahan yang muncul mengejut kebelakangan ini perlu ditangani dengan fokus terhadap kedudukan generasi muda muslim.

Adakah selepas ini generasi muda muslim berkembang mengikut acuan baharu atau mereka bakal menjadi generasi muslah yang memimpin perubahan tersebut?

Apa yang paling mustahak konsep patriotisme agama yang perlu ditanam dalam sanubari generasi muda muslim perlu berlandaskan pendekatan patriotisme hisbah.

Konsep ini haruslah mempraktik kesungguhan mencintai agama, mempertahan dan melaksanakan tuntutan iman dalam bernegara.

Pendekatan dalam konsep patriotisme ini akan menjadi medium penyatuan ummah yang melangkaui tafsiran politik dan kaum kerana matlamat nilainya adalah sama.

Semua kaum dan bangsa akan bergerak bersama menjayakan matlamat mencintai, mempertahan dan merealisasi Islam.

Dalam pada itu, kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada jaminan demokrasi perkauman atau demokrasi multietnik untuk mendirikan semangat patriotisme kerana dalam tempoh 61 tahun merdeka ia membuka ruang retak yang semakin besar.

Perbalahan isu-isu sensitif seperti yang berlaku hari ini mencalar agama malah sebaliknya agama kini seperti boleh diubahsuai untuk diakomodasi dengan tuntutan-tuntutan luar norma agama

Kita berdepan dengan musuh yang sangat licik iaitu faceless enemies.

Musuh-musuh ini berusaha sedaya upaya untuk menuntut hak norma-norma tersendiri.

Generasi muslim hendaklah dididik dengan kefahaman Islam sebenar agar ajaran agama tidak mudah dieksploitasi untuk membenarkan sesuatu yang ditegah dalam agama.

Dari umur yang muda lagi generasi muslim perlu dibimbing dengan pendekatan agama.

Kita perlu fokus terhadap perjuangan patriotisme menjaga agama.

Hanya agama dapat memelihara mereka daripada terus hanyut dengan dunia hedonisme, liberalisme dan sekularisme.

 

Roslee Mardan

Penolong Pengarah Kanan,

Unit Patriotisme & Kesukarelawan,

Bahagian Pembangunan Pelajar, JHEP Universiti Utara Malaysia