Sebagai pengguna di kawasan Senawang, Negeri Sembilan, saya agak terkilan apabila permohonan serta rayuan untuk mendapatkan salinan kontrak bekalan air sejak tiga tahun lalu serta diberi peringatan setiap penggal kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) tidak dilayan.

Walaupun difahamkan kewujudan kontrak antara pengguna dengan Sains berasaskan kepada borang permohonan semasa bekalan air, pengguna berhak diberi salinan untuk mengetahui tanggungjawab setiap pihak serta butiran dalam kontrak tersebut terutama dari segi spesifikasi kualiti air dan jaminan bekalan.

Daripada pengalaman kami, banyak kes air dibekal tidak sesuai diminum pengguna terutama semasa kerja-kerja pembentungan di selenggara.

Notis kerja-kerja penyelenggaraan tidak dimaklun secara berkesan kepada pengguna terlibat. Ketika inilah air berkeladak memasuki tangki-tangki serta mesin basuh dan mengotori pakaian.

Oleh itu, pengguna berhak untuk tidak membayar sejumlah bekalan air yang tidak menepati spesifikasi piawaian antarabangsa.

Malangnya apabila bil air tidak di bayar, pihak Sains akan menghantar pihak ketiga sama ada pemungut hutang atau pemotong bekalan air sebagai tidak balas kepada pengguna yang ‘enggan’ membayar.

Pengguna tidak mempunyai pilihan selain membayar dalam protes atau mencabar kes ini di bawah Akta Persaingan 2010.

Oleh itu, diharap Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memantau urus tadbir syarikat-syarikat air yang tidak berwibawa sama ada dari segi pengurusan, kejuruteraan dan komunikasi.

TENGKU MAN

Senawang