Ini membuktikan pemimpin PH bersimpati dengan kesusahan rakyat tetapi menggunakan cara dan kaedah lain dengan memperkenalkan jenama baharu Bantuan Sara Hidup (BSH).

Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhamad dan barisan Kabinetnya termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Setiap keluarga berpendapatan RM4,000 ke bawah difahamkan akan menerima BSH tetapi perlu melalui tapisan terlebih dahulu supaya hanya mereka yang benar-benar layak diberikan bantuan. Seramai 4.1 juta rakyat dijangka menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion.

Kita tidak mahu masih ada penerima bantuan kerajaan sedangkan ada antara mereka hidup mewah dengan memiliki rumah dan kereta besar. Ada juga penerima dalam kalangan pemilik restoran yang memperoleh keuntungan perniagaan sehingga RM500 sehari. Mereka ini dianggap layak menerima bantuan kerana segala pendapatan mereka tiada mempunyai rekod atau slip pendapatan sebagaimana kakitangan kerajaan atau swasta.

Oleh yang demikian, untuk berlaku adil, pemberian BSH ini perlu dibuat kajian menyeluruh demi memastikan mereka yang benar-benar layak bukan hanya mengambil kira maklumat yang ditulis di dalam borang kerana dikhuatiri mereka yang tidak bertanggungjawab memalsukan segala maklumat.

Kita tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan sedangkan mereka ini adalah golongan berkemampuan dan hidup serba-serbi mewah.

 

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Ampangan, Seremban