Langkah itu bertujuan mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan.

Mengikut perangkaan yang didedahkan oleh Idris, sebanyak 54,103 graduan di negara ini masih menganggur dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan pada 2016.

Lima bidang pengajian yang merekodkan bilangan graduan menganggur tertinggi pada tahun lepas adalah pentadbiran perniagaan dan perdagangan, sains gunaan, pengurusan sumber manusia, perakaunan serta sastera dan sains sosial.

Antara faktor pengangguran berlaku kerana ramai graduan lulus dengan cemerlang dalam kursus yang diambil manakala jumlah jawatan ditawarkan bagi sektor awam dan swasta cukup terhad.

Ada dalam kalangan graduan yang terpaksa menunggu selama bertahun-tahun sebelum mendapat kerja yang setaraf dengan kelayakan akademik masing-masing.

Bayangkan setelah belajar selama empat tahun di universiti dan itu belum termasuk pengajian di pusat matrikulasi lebih kurang dua tahun, tetapi berakhir tanpa pekerjaan seperti diharapkan.

Situasi tanpa pekerjaan itu sudah tentu amat membebankan graduan memandangkan mereka bertanggungjawab melunaskan hutang dengan institusi penyedia pinjaman pendidikan.

Sehubungan itu, saya menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Tinggi yang bertindak cepat untuk memastikan isu graduan menganggur tidak berlarutan dengan mengesyorkan universiti mengadakan latihan industri lebih panjang.

Dalam pada itu, saya mencadangkan pihak universiti turut menawarkan kursus-kursus kemahiran peringkat sijil untuk diikuti mahasiswa seiring dengan pengajian peringkat ijazah.

Langkah itu akan membolehkan mereka berdikari dan menjana pendapatan sendiri selepas bergelar graduan sementara menunggu pekerjaan sesuai dengan kelayakan akademik.

Antara kursus kemahiran yang boleh ditawarkan melibatkan bidang teknikal, pertanian dan perniagaan secara dalam talian.

Pepatah Melayu ada menyatakan ‘sediakan payung sebelum hujan’. Dengan kemahiran berkenaan, graduan tidak akan menjadi penganggur terhormat yang kadangkala mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

Sementara itu, saya berharap diperbanyakkan universiti yang berasaskan integrasi antara sains dan agama berikutan permintaan menggalakkan dalam kalangan pelajar.

Graduan yang lulus daripada universiti sedemikian bukan sahaja bakal menjadi doktor atau ahli sains, malah mereka boleh berdakwah kerana turut sama mempelajari ilmu-ilmu agama.

SYED ABDULLAH
 SYED OSMAN JAMALULLAIL

Seremban